Nafasku Hanya Untuk Dia -bab 2-



BAB 2

Mirza bergerak ke tingkat bawah, beberapa jam kemudiannya, untuk bersarapan. Hari itu merupakan Sabtu pagi dan dia selalunya tiada janji temu yang penting setiap Sabtu. Jadi dia hanya menghabiskan masa dengan membaca surat khabar, menghirup kopi dan menghindarkan diri dari Ainul. Tetapi pagi itu lain sangat. Terasa bagai pertengkaran mereka hari itu tidak pernah terjadi pun sebelum ni. Mereka cuma makan seperti biasa di dapur.

Dan sekali lagi, masih tiada perubahan yang baru. Mirza tetap dengan sikapnya yang dingin. Tambahan lagi, 'perbincangan' pagi itu adalah yang paling hangat Ainul pernah alami. Mirza tidak suka bertentang mata dengannya. Sementara si Ainul yang sentiasa optimistik dan lurus pula, tidak pandai menyorokkan perasaannya terhadap lelaki tu. Perasaan itu berputik sejak kali pertama dia bertemu dengan Mirza, lebih kurang dua tahun yang lalu. Betapa pantasnya dia jatuh cinta.. Ainul menggelengkan kepala, tidak mahu memikirkan perkara yang tidak mampu diubahnya dan cuba memfokuskan bagaimana cara untuk mengubah dirinya sekarang.

Sarapan terasa sangat lama berlalu, suasana sunyi hanya pecah dengan selakan surat khabar ketika Mirza mencari artikel tentang bisnes. Ainul tidak makan walau sedikit pun dan dia benci dengan keadaan suaminya yang tidak terusik dengan ketegangan yang berlaku di antara mereka sampai boleh lagi menghabiskan makanannya. Ainul mengangkat pinggan dan bergerak ke sinki. 

"Kau patut makan lebih dari sekeping roti je," tiba-tiba sahaja Mirza menyergah. "Makin kurus aku tengok kau ni." Ainul betul-betul terpegun dengan Mirza yang sedar akan perlakuannya walaupun lelaki itu tidak memandang ke arahnya sekalipun.

"Saya tak lapar...." Ainul membalas perlahan dan meletakkan pinggannya di sinki.

"Burung gagak pun boleh mati bila tengok banyak mana kau makan," Mirza merendahkan surat khabarnya dan bertentang mata dengannya untuk seketika sebelum beralih ke secawan kopi di hadapannya. Tentangan mata suaminya itu betul-betul luar biasa sehingga mampu membuatkan Ainul terpaku.

"Saya makan cukuplah," Ainul menjawab dengan hati yang tidak rela, selalunya dia malas hendak membalas balik tetapi dia mahu melihat sama ada suaminya akan memandangnya sekali lagi ataupun tidak. Ah, tiada tuah. Mirza meletakkan surat khabar di sisi pinggan yang sudah kosong. Dia menghirup sisipan terakhir air kopinya sebelum bingkas bangun dari kerusi.

Ainul hanya memerhatikan suaminya yang sedang menggeliat; baju hitamnya terangkat menampakkan sebahagian bentuk badan lelaki tersebut. Ainul sudah menghabiskan tempoh selama setahun mengharap agar Mirza akan jatuh cinta padanya. Sungguh dia percaya yang lelaki itu akan hilang kemarahannya sewaktu dipaksa untuk berkahwin dengannya dan akan kembali menjadi dirinya yang dulu, suka ketawa, lelaki penyayang yang pernah dikenalinya selama beberapa bulan selepas mereka berjumpa. Tetapi selepas setahun Ainul dipaksa berdepan dengan realiti, ternyata Mirza benar-benar membencikan dirinya. Terlalu benci sehingga tidak sanggup hendak berbual dengannya, membelainya hatta memandang dia sekalipun. Ainul sedar yang perkahwinan mereka ini hanyalah sia-sia dan jika dia mahukan kehidupan seperti dulu, dia perlu keluar dari perkahwinan ini.

Malangnya, Ainul turut tahu bahawa melepaskan diri dari perkahwinan ini lebih merumitkan dari apa yang dia sangka. Dia perlu mencari jalan tanpa melukakan hati sepupunya. Lily dan Suhairi sedang menuggu kehadiran bayi pertama mereka, Ainul tidak sanggup membuatkan sepupunya bersedih sehingga mengancam nyawa bayi mereka. Walaupun agensi pengiklanan Suhairi sangat berjaya, Lily selalu berbangga diri dengan mengatakan dia mempunyai simpanannya sendiri. Dengan merampas kembali kedai bukunya itu boleh merosakkan hubungan yang sedia ada dan Ainul tidak sanggup perkara itu terjadi.

Ainul mengeluh berat dan mula membasuh pinggan mangkuk.  Dia sangat suka membuat kerja rumah walaupun Mirza mempunyai kewangan yang kukuh. Ainul juga bertegas untuk memasak sendiri. Mereka hanya mengupah orang gaji untuk membersihkan kawasan rumah selain bilik tidur mereka. Ainul merenung ke arah sebahagian pinggan mangkuk yang telah dibersihkan dan membiarkan separuh lagi di sinki sebelum melangkah naik ke tingkat atas dan meninggalkan Mirza yang masih berada di dapur.

Ainul menukar bajunya daripada baju tidur ke baju T dan jeans, mengikat rambut separas bahunya menjadi tocang sebelum menyarungkan tudung ke kepala dan mengenakan jaket denim untuk menghindarkan diri dari kesejukan udara pagi. Ainul melepasi bilik tetamu di mana Mirza selalu menggunakan komputer ribanya, mungkin untuk menghabiskan kerja-kerja yang berkaitan, dan menuju ke pintu hadapan.

"Saya nak keluar," ujar Ainul bersahaja melalui pintu yang sudah terbuka dan kepala Mirza terangkat naik sambil matanya memancarkan emosi yang tidak dapat dikenalpasti.

"Ke mana...." Mirza bersuara.

"Saya tak tahu berapa lama saya nak keluar," Ainul pantas keluar dari rumah sebelum sempat Mirza menghabiskan kata-katanya, meraih beg tangan dan kunci kereta dalam perjalanan. Dia sudah menghidupkan Mini Cooper kelabunya yang kecil ketika Mirza berdiri di muka pintu hadapan. Sambil melambai mesra walaupun dia tahu nampak mengjengkelkan, dia berpusing ke belakang dan menghala keluar. Ainul juga tidak pasti hendak ke mana dan dia tahu dia akan dimarahi teruk apabila dia pulang ke rumah nanti. Tetapi dalam masa yang sama, dia terasa gembira apabila dapat membuat sesuatu di luar karakternya. Telefon bimbit berdering beberapa saat kemudian dan sejurus sahaja Ainul berhenti di lampu merah, dia mematikan telefon dan melemparnya ke tempat duduk penumpang.

Hari masih awal lagi, masih belum menginjak ke pukul sembilan. Dan disebabkan hari itu merupakan hari Sabtu, perjalanan agak sesak. Ainul masih berasa gembira dan dia memandu dari satu kawasan tenang di Clifton, salah satu pinggir bandar yang terkaya di Cape Town, ke arah bandar. Selalunya dia akan berjalan-jalan ke Newlands dan menghabiskan masa dengan Lily dan Suhairi.... tapi dia tahu tempat itu adalah tempat pertama sekali Mirza akan mencarinya. Mirza tahu betapa terhad kehidupan sosialnya. Walau bagaimanapun, dia sudah memikirkan tentang perkara yang boleh dibuat pada masa yang tidak dijangka ini dan dia memutuskan untuk melakukan aktivti yang lain. Ainul memilih sesuatu yang tidak pernah dia lakukan selama ini...

Dia memandu ke panggung wayang. Itu adalah niat yang paling suci dia boleh fikir dan kalau ada apa-apa yang Ainul mahu sekarang ini, dia ingin melarikan diri dari kehidupan dia. Jadi dia menghabiskan masa sehari suntuk berjalan dari satu panggung wayang ke panggung wayang yang lain; ketawa, menangis, atau melompat, bergantung pada keadaan. Hari itu merupakan hari yang paling tidak produktif sekali yang pernah dia lakukan seumur hidup dan ternyata Ainul sangat sukakannya!

Seusai sahaja filem terakhir habis ditayangkan, hari sudahpun larut malam dan dia mula terasa sakit kepala yang teramat disebabkan oleh kegelapan dan pancaran cahaya projektor tadi. Perut pun sudah mula terasa sakit kerana asyik disuapkan dengan diet soda dan bertih jagung. Apabila Ainul menuju ke belakang keretanya baru dia tersedar akan realiti dan dia mula risau. Ainul tidak pasti akan bagaimana reaksi  Mirza nanti.. dia tidak pernah melihat Mirza mempamerkan apa-apa perasaan melainkan muka lagak machonya itu walaupun di atas katil tetapi ini adalah kali pertama dia pernah buat perkara sebegini. Mirza tidak mungkin akan menyakitinya secara fizikal, Ainul tahu itu tetapi dari segi emosi pula, peluang untuk menyakitinya tiada batasan. Ainul resah memikirkan ayat-ayat sinis yang bakal diterima.

Rumah diterangi dengan cahaya lampu tatkala dia tiba di perkarangan dan secara automatik perutnya berbunyi. Ainul menelan air liur dan dengan beraninya dia memarkirkan kereta di hadapan pintu rumah. Belum sempat enjin kereta dimatikan, pintu sudahpun terbuka.

Ainul tersentak ketika melihat bayangan suaminya yang sedang bergerak keluar dan mendengus apabila suaminya memegang kuat tangannya dan menariknya ke dalam. Mirza menghempas pintu, menggenggam kedua-dua belah bahu dan menolak isterinya sehingga tersandar di pintu. Ainul baru tersedar yang Mirza tidak menyakitinya langsung, cuma pandangannya sahaja menular dari atas ke bawah tubuhnya. Apabila dia berpuas hati dengan keadaan Ainul, barulah dia menumpukan sepenuh perhatian ke arah isterinya.

Mata Mirza, di mana dia jarang mendapat peluang untuk melihat, benar-benar menusuk kalbu. Mata itu berwarna coklat pekat dan dihiasi pula dengan bulu mata yang hitam lebat. Dahinya berkerut, marah mungkin. Mirza melepaskan bahunya dan jemarinya menjalar pula ke wajah Ainul... Ainul cuba menjauhkan diri tetapi kedua-dua tangan kekar suaminya mengusap lembut pipinya. Nafasnya menjadi tidak teratur apabila si suami mendekatinya, merendahkan kepala supaya bersetentang dengan pandangannya. Kedudukan Mirza terlalu rapat sehingga dia dapat merasakan hangatnya nafas lelaki itu di mukanya. Bibir Mirza hanya beberapa sentimeter sahaja dari dia dan apabila lelaki itu memulakan bicara, bibir Mirza menyentuh bibirnya.

Share:

3 comments

  1. wah..bestnye baca nie..saya semakin tertarik..huhu (pembaca tegar novel)

    ReplyDelete

hello dear :) x salah pun baca sambil komen kan.