Cinta Matchmaker -bab 6-


bab 6


Pihak media mungkin sudah berputus harap agaknya ketika Safrina melangkah masuk ke dalam rumahnya. Sudah tiada orang yang sedang memegang kamera bersembunyi di sebalik semak atau setia berdiri di hujung jalan rumahnya. Safrina menuju masuk, mencampakkan kunci ke atas meja berdekatan dengan pintu hadapan, dan mula menaiki tangga. 

Ketika loceng pintu berbunyi, dia berpusing semula dan membuka pintu serta merta. Tiba-tiba baru dia tersedar yang dia mungkin sudah mengundang pihak wartawan untuk menangkap gambarnya berpakaian selekeh sebegini, sehingga mengundang ketidakpuasan di hati Alfie kelak.

Tetapi orang di sebalik pintu tersebut bukanlah seorang wartawan mahupun seorang jurugambar hiburan. 

Malah ia lebih teruk lagi.

Troian. 

Mata perempuan itu menyorot tajam ke arahnya. Sungguh berbeza dirinya dengan perempuan di hadapannya ini. Troian mempunyai rambut berwarna perang, tulang pipi yang tinggi dan sepasang mata biru yang sangat menusuk kalbu. Tubuh yang tinggi lampai dikenakan dengan sepasang blaus dan skirt sutera separas lutut berwarna kuning, menyerlahkan lagi ketinggian dan keseksian perempuan itu.

Pandai sungguh Alfie memilih wanita untuk dijadikan kekasih hatinya. 

"Kau mesti kenal aku kan." Troian O'Neil, bukanlah seperti apa yang Safrina sangkakan. Perempuan sebegini selalunya akan muncul tanpa diundang. Atau mengintai dari jauh mungkin, tetapi untuk mengetuk pintu rumahnya memerlukan keberanian yang tinggi. Nampak gayanya dia sudah tersilap percaturan. Troian bukan sepeti yang dia sangka dan harapkan.

"Dan kau pun tahu siapa aku."

Pandangan Troian meliar dari atas ke bawah tubuh Safrina dan senyuman sinis terukir di bibir itu. Troian berpakaian dari jenama Gucci, manakala Safrina pula hanya memakai baju berjenama Hurley. 

Pernah suatu ketika dahulu semasa Safrina masih muda, sebelum kejatuhan ayahnya, salah seorang kawannya telah memberi satu nasihat. Katanya, 'Don't go into a battle without a full arsenal'. Ketika itu, Safrina dan kawan-kawannya sedang mencuba untuk menarik perhatian seorang budak lelaki di sekolah mereka. Semenjak dari hari itu, dia tidak pernah keluar dari rumah jika tidak mengenakan mekap dan baju berjenama mewah yang tertera di belakang pakaiannya. 

Safrina mengerling pada seluar sukan dan baju kemeja T yang dipakainya yang tertulis, 'Just Do It,' dan dia mula terasa rendah diri.

"Kau tak nak jemput aku masuk ke dalam ke?"

Oh, itu tidak mungkin akan terjadi kawan. "Tak ada sebab untuk kau masuk ke dalam rumah aku."

Troian melangkah ke hadapan dan menolaknya ke tepi. Safrina terasa ingin menolak perempuan itu, tetapi dia terpaksa menahan diri. Gambar tersebut mungkin akan menjadi tajuk hangat di hadapan muka surat khabar dan ia tidak akan berakhir dengan baik di antara dirinya dan Alfie.

Safrina menutup pintu dan menghalang Troian dari melangkah lebih jauh ke dalam kawasan rumahnya. "Cukuplah tu."

"Tak lama pun aku nak cakap." Suara Troian berbaur api kemarahan, matanya masih lagi meliar memandang sekeliling rumah Safrina. "Apalah yang Alfie nampak dalam diri kau ye?"

Safrina menyilangkan kedua-dua belah tangannya di dada. "Are your claws always out? Or do you put them away at night?

"Clever. Kau tahu tak yang aku ada bersama dengan dia dua minggu yang lalu?"

Safrina terasa bagai ingin menyumpah sahaja tetapi disabarkan hatinya. "Alfie dengan aku tak pernah berniat pun nak lukakan hati sesiapa."  Safrina berusaha untuk tidak memikirkan tentang suaminya dan juga perempuan ini bermesra antara satu sama lain.  

"Alfie memang selalu lukakan hati semua orang.. akhirnya. Tak lama lagi kau pun tahulah."

"Aku rasa dah tiba masanya kau keluar dari rumah aku." Safrina sudah bersedia untuk berhenti dari berkelakuan baik. Ini bukanlah seorang perempuan yang mencintai seorang lelaki, tetapi ini adalah seekor ular yang bersedia untuk mematuk bila-bila masa sahaja yang dia suka.

"Dia tahu tak pasal ayah kau? Pasal sejarah keluarga yang kau sembunyikan selama ni?"

Rahang Safrina menegang dan kukunya menekan kuat lengannya. "Alfie tahu semuanya."

Troian memandang pelik. "Semuanya? Kau pasti ke pasal tu?"

Tiada apa yang perlu dia sembunyikan... hmm, mungkin hampir kesemuanya. Dosa silam Safrina sudah dikebumikan dengan begitu mendalam sehingga tiada siapa yang mampu berjaya menggalinya. "Kau ni macam terdesak sangatlah, Troian. Tak elok untuk diri kau."

Senyuman di wajah perempuan itu terus menghilang. "There is nothing about me screaming desperation. You, on the other hand, are a poster child for the word."

"Ding, ding, masa sudah pun tamat." Safrina membuka pintu seluasnya, tidak mengambil peduli akan sesiapa yang mungkin akan perasan dengan situasi mereka ini. "Berambus, sebelum aku pijak kasut Prada kau tu dengan kasut Nike aku ni."

Degupan jantungnya yang bergerak pantas membuatkan dia terasa ingin menendang sesuatu.

"Jaga-jaga, kau jangan cuba cari pasal dengan aku. Kau belum kenal aku ni macam mana." Ugut Troian, keras.

Safrina menggerakkan tubuhnya serapat mungkin ke arah Troian tanpa bersentuhan langsung. 

"Perempuan, kau tak tahu apa yang mampu aku buat. Bila fikir balik, masa Alfie bagitahu aku pasal kau, aku rasa kesian pula dengan kau sebenarnya. Sayang. Aku tak tahulah apa yang dia fikirkan."

Racun berbisa terbias di mata bundar itu. Sambil memusingkan tubuh, Troian memakai kaca mata hitamnya dan berjalan menuju ke kereta berwarna merah yang diparkir di tepi jalan.

Mahu sahaja dia menghempaskan pintu, biar perempuan itu tahu betapa geram hatinya ketika ini. Sebaliknya, Safrina menutup dengan perlahan dan tersandar lemah di pintu. Tangan dan bibir sudah mula menggeletar. Dia memaksa dirinya untuk bertenang. 

Bunyi deruman dari luar mengetuk gegendang telinganya. "That was pleasant." Safrina menolak tubuhnya jauh dari pintu dan mencapai beg tangannya. Tidak mahu bersuara, dia membuka peti mesej dan menekan nombor telefon Alfie. 

Saya dapat hadiah tak kalau apa yang saya cakapkan selama ni memang betul? Safrina menghantar mesej tersebut kepada suaminya.

Sementara menunggu balasan dari lelaki itu, dia mengunci pintu dan membawa diri naik ke tingkat atas untuk membersihkan diri.

Telefonnya bergetar ketika dia berada di tangga yang paling atas. 

Betul pasal apa?

Saya baru je jumpa kekasih python awak tu. Tak tahulah apa yang awak nampak dalam diri dia selama ni. Dan disebabkan dia tidak percaya akan dirinya untuk meluahkan kata-kata itu, dia menambah. Nak mandi kejap, nanti sambung.

Safrina membaling telefonnya ke atas katil dan berjalan ke bilik air. Getaran di hati semakin berdetak perlahan. Dia melirik pada pantulan imejnya di cermin. Kabus pagi merosakkan rambutnya, wajah juga sudah berubah menjadi kemerah-merahan.  "Selekehnya."

Dalam masa yang sama, telefon bimbitnya berbunyi.

Safrina mengabaikannya.

Dia membuka baju dari tubuh dan mencampakkannya di dalam bakul. Bait bicara dari kawan sekolah menengahnya dahulu kembali mengetuk minda. "Full arsenal."

"Kau nak tahu satu benda tak, Alfie. Aku rasa aku nak pakai kad kredit kau tu lah." Dengan kehadiran Troian tadi, dia tahu dia perlu bersiap sedia untuk bertarung. Dilahirkan dari keluarga yang kaya raya, dia sudah tahu bagaimana rentak permainan tersebut. Dia cuma memilih untuk tidak melakukannya sahaja.

Sehinggalah kini. 

_____________________________________________________________________

Alfie menggosok wajahnya dengan kedua-dua belah tangan buat kali ke sepuluh hari ini. Mesej dari Safrina benar-benar mengejutkannya dan dia masih lagi belum berkesempatan untuk berbual dengan isterinya.

Apalah yang Troian fikirkan? Apalah yang perempuan itu katakan kepada isterinya? Baru sahaja berkahwin kurang dari seminggu, Alfie mendapati dirinya cuba mencari jalan agar Safrina dan juga kekasihnya tidak akan bertemu dua mata. Dia sudah lagi tidak berbual dengan Troian saat dia menyarungkan cincin di jari manis Safrina. Dia pernah mencuba untuk menelefon wanita itu, sekali. Tetapi apabila pembantu rumah Troian mengatakan bahawa wanita itu tidak mahu lagi menerima panggilan darinya, dia fikir bahawa sudah tiada apa lagi yang perlu dikatakan di antara mereka berdua. 

Daisy pula cuma sekadar menghantar pesanan yang berbunyi 'telefon aku bila kau dah penat dengan dia'.

Python? Safrina merujuk pada ularkah? Pastinya ia bukan bermula dan berakhir dengan baik. 

Aduh, Kalau diikutkan, mahu sahaja dia terbang ke Mauritius ketika ini juga. Tetapi membuat keputusan terburu-buru bukanlah gayanya. Dia merancang untuk pulang ke sana pada petang Ahad nanti, di mana dia boleh mengambil isterinya dan mengiringinya ke Eropah.

Melainkan kalau Safrina memerlukan dirinya lebih awal, dia perlu tetap dengan keputusan asalnya. Masih, baru sesaat terbayang wajah cantik manis itu sudah mampu membuatkan hatinya bergetar. Perbualan mereka melalui telefon tempoh hari sungguh tidak dijangkanya. Suara wanita itu sangat menggoda hati lelakinya, apatah lagi bila mereka berdua seperti menggoda antara satu sama lain. 

Telefon bimbit Alfie berbunyi seketika menunjukkan satu mesej baru sahaja diterima.

"Rina," dia menghembuskan nama wanita itu. Berharap.

Bukan dia.

Alfie membaca mesej dari pihak bank yang memaklumkan berkenaan dengan aktiviti kad kredit yang diberi kepada pengantin perempuannya.

Mungkin kehadiran Troian ada hikmah di sebaliknya. Dia mendengar sahaja jumlah yang dikenakan dan tersenyum. Komen Safrina tentang perempuan yang terlalu sensitif sifatnya kembali melayang di dalam fikiran. Nampaknya, isterinya juga termasuk di dalam golongan itu.

_______________________________________________________

Trauma di dalam kehidupan seseorang biasanya membuka satu lagi deria di dalam diri masing-masing. Sekurang-kurangnya itulah apa yang Safrina percaya. Hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa banyak drama yang sudah berlaku di dalam hidupnya sebelum ini.

Syukurlah, mereka semua sudah melupakan tentang permaisuri baru yang tinggal di kawasan perumahan tersebut. Tetapi dia masih lagi terasa bagai diperhatikan oleh seseorang, yang sentiasa mengekorinya setiap masa. 

Dan ia mula membuatkan dia menjadi berang.

Alfie masih lagi belum mendedahkan tentang siapa yang akan memantau perkahwinan mereka selama setahun ini. Masa mereka bersama-sama perlu nampak meyakinkan, berjauhan seperti ini menyukarkan lagi situasi yang sedia ada. Safrina merasakan panggilan telefon dari suaminya adalah salah satu cara untuk menunjuk bahawa mereka sebenarnya seorang pasangan pengantin yang bahagia dan saling merindui antara satu sama lain. Sekurang-kurangnya rekod telefon itu akan mendedahkan perbualan harian mereka.

Safrina meyakinkan Alfie bahawa kehadiran Troian langsung tidak menjejaskan dirinya. Walaupun pada hakikatnya, ia tidak benar sama sekali. Tetapi lelaki itu tidak perlu tahu betapa remuk hatinya kini. Mungkin bil kad kreditnya mampu menunjukkan segala-galanya. Seharian dia duduk di spa kecantikan, membuat rawatan wajah, melulurkan badan dan juga memotong rambut. Topi yang bersaiz besar berserta cermin mata hitam mampu membantu menyembunyikan dirinya tetapi masih lagi ada mata-mata yang melirik padanya di sebalik keramaian itu.

"Kau ni paranoid sangatlah," Safrina berkata pada dirinya sendiri ketika dia menarik cermin mata ke bawah.

Mengerling pada jam di tangan, dia mengira waktu Alfie yang sedang berada di Eropah. Selalunya lelaki itu yang kerap menelefonnya dan apa salahnya jika hari ini dia pula yang memulakan dahulu. Safrina mengangkat telefon dan mencapai kertas di atas meja yang bertulis nombor telefon rumah suaminya.

Ketika dia mendail, telefon itu mengeluarkan bunyi buzz, klik, dan berbunyi buzz sekali lagi.

Safrina terkaku di situ.

Dia kenal dengan bunyi tersebut. Terlalu mengingatinya. Selepas meletak kembali telefon ke tempat asal, dia memikirkan tentang beberapa pilihan yang perlu dibuat. Pertama, menggunakan telefon bimbitnya untuk menelefon Alfie, tetapi dia tahu ada kamera yang sedang memerhati dan mikrofon yang berada di satu tempat di dalam rumahnya. Nasib baiklah perbualan sebelum ini hanya menerusi telefon bimbitnya dan juga di luar kawasan rumah.

Pilihan kedua pula, meninggalkan rumahnya dan membuat panggilan.

Dan kemudian pilihan yang ketiga. Kalau orang tersebut yang bertanggungjawab memasang peranti di dalam telefonnya, mereka pasti akan mendengar tentang perbincangan perkahwinan palsu di antara dia dan suaminya itu. Dan sesungguhnya mereka pasti akan berasa sangat kecewa.


p/s : mungkin sampai sini dulu saya berhenti. saya ada exam minggu depan, and i really need to study. sorry! and enjoy reading :) ada masa, saya sambung ye. any comment, boleh cakap sahaja di bawah. adios~

and oh, of course lah Troian tu mat saleh, tapi malas lah nak banyak2 speaking dalam cerita ni. so, saya buat dia cakap melayu je. anggaplah diorang tengah speaking ye. haha.
post signature

Tags:

Share:

2 comments

hello dear :) x salah pun baca sambil komen kan.