Nafasku Hanya Untuk Dia -bab 8-



bab 8

"Lily jadi pengapit saya pun sebab ayah saya cakap sepupu pertama lebih sesuai berada di majlis kahwin tu. Kalau dia sekadar kawan, dia pun takkan dijemput!"

"Pelik sungguh bila orang hidup senang macam kau ni bising-bising pasal betapa teruknya hidup dia. Kau ada duit, kau boleh beli apa sahaja yang kau mahu...."

"Tapi bukan cinta, lagi-lagi cinta daripada suami dan kasih sayang dari seorang ayah.... nampaknya saya tak layak nak dapat semua tu."

"Geram aku tengok kau ni, asyik nak menyalahkan diri sendiri je."

"Ya, saya salahkan diri saya sendiri," dia mengakui, pilu. "Selama ni, saya cuma terima bulat-bulat je apa yang awak dan ayah saya suruh.... memikirkan mungkin itulah hidup saya dan saya patut terima seadanya. Kalau dua orang lelaki berkuasa macam awak fikir saya ni takkan dapat cinta dan hormat, siapa saya nak melawan? Tapi saya mula sedar bukan saya je yang bersalah dalam hal ni. Bukan saya yang ada kecacatan personaliti. Sekurang-kurangnya niat saya berkahwin dengan awak dulu ikhlas. Betapa bodohnya saya kerana terlalu mencintai awak dulu. Nampaknya tujuan awak lagi teruk, kan? Yang pastinya tak ada kaitan langsung dengan cinta."

"Semuanya ada kaitan dengan cinta," jerit Mirza tiba-tiba, terdiam terus Ainul ketika dia memandang Mirza. "Cuma bukan cinta untuk kau." Ainul mengelipkan matanya, mata coklatnya sahaja yang berwarna pada wajah pucatnya.

"Apa maksud awak?" Ainul bertanya tanpa menggerakkan bibirnya. "Cinta untuk siapa?" Mirza merujuk kepada Nelly kah? Kalau benar Mirza terlalu menyayangi wanita itu, apa perlunya berkahwin dengan dia? Tidak masuk akal.

"Kau tak perlu tahu pasal tu," marah Mirza, otot di rahang mula menegang.

"Saya takkan pernah tahu pun kan," Ainul akhirnya mengangguk sedih. "Masalah yang tak ada kaitan dengan saya, tapi tetap bagi kesan dalam setiap aspek kehidupan saya. Awak nak sesuatu dari saya tapi awak tak mampu nak bagi saya apa-apa sebagai balasan. Saya dah serik, Mirza. Awak nakkan zuriat tapi ini tubuh saya jadi saya yang berhak buat keputusan..."

"Aku suami kau...."

"Tak. awak bukan suami saya," Ainul mencelah dalam nada kecewa. "Awak tak pernah jadi suami saya. Seorang suami sepatutnya mencintai, menghormati dan menghargai! Seorang suami ialah seorang kekasih dan juara.... tengok dulu macam mana lelaki lain jadi seorang suami, sebab awak tak ada satu pun dalam tu!" Mirza bergerak menjauhi Ainul. Dia kelihatan seperti lelaki yang baru sahaja digigit binatang kesayangannya. Ainul menolak dirinya jauh dari peti ais dan melangkah melepasi suaminya.

"Ainul, tunggu..." Mirza mencapai satu tangan isterinya untuk menghalangnya dari pergi.

"Saya nak balik, tolong bagitahu Suhairi dan Lily yang...."

"No," Mirza menyampuk lembut. "Kau duduk je kat sini. Ini keluarga kau, betul apa kau cakap tadi dan aku tak sepatutnya mengganggu. Aku minta maaf..." Mirza melarikan pandangannya ketika dia meminta maaf dan rahang Ainul terjatuh ketika mendengar ayat maaf buat kali kedua itu.  Ainul amat pasti bahawa bumi tidak berputar pada paksinya sekarang ini. "Aku pergi dulu.." Mirza menjatuhkan tangan Ainul dan bergerak keluar, meninggalkan Ainul yang masih merenungnya keliru.

______________________________________________________________________

Rumahnya sangat gelap dan senyap seusai dia sampai di rumah, tiada bayangan Mirza yang sedang menunggunya di pintu rumah kali ni, cuma kesunyian yang melanda ketika dia melangkah naik ke tingkat atas menuju ke bilik tidur tetamu. Sebaik sahaja dia mandi, terus Ainul rebah di katil dan tidak bergerak pun sehinggalah pagi esoknya. Ainul duduk dalam kekeliruan, cuba mengingati apa yang terjadi dan tersedar bahawa dia bukan lagi berada di bilik tidur tetamu. Ainul memandang sekeliling, dia sudah berada di bilik tidur utama dan tiada sesiapa di sisi bermakna Mirza tidak tidur bersamanya.

Ainul memandang liar ke bawah dan lega melihat dia masih berada dalam keadaan yang sempurna; masih lagi baju tidur yang dipakai malam tadi.

Ainul memandang jam loceng di atas meja dan mendengus apabila dia tersedar yang waktu sudah hampir mencecah ke angka sepuluh. sambil menolak segala helaian rambut yang menganggu wajahnya, dia bangun dan cemas tatkala bilik mula berputar-putar di sekelilingnya. Ainul melangkah beberapa tapak sebelum mencapai kepala katil dan berdiri tegak. Ainul memarahi dirinya sendiri bila dia cuba mengingati kali terakhir dia makan... yang pastinya bukan sarapan hari sebelumnya, di mana dia mencuri dengar panggilan suaminya, ataupun makan tengah hari yang terganggu dek kehadiran Mirza di rumah Suhairi dan Lisa dan makan malam yang tidak pernah dia lakukan selama ini.

Walaupun Suhairi dan Lisa memujuknya untuk makan malam di sana, Ainul tidak berselera untuk mengisi perut selepas menghadapi hari yang membebankan! Hari Sabtu pun sama je; dia cuma makan popcorn semasa menonton wayang.

Dan sekarang terimalah padahnya. Sambil bergerak menghala ke bilik air, Ainul bercadang untuk sarapan dan makan tengah hari terus (brunch). Hari isnin merupakan hari cuti untuk pembantu rumah dan tiada siapa yang lain tinggal di rumah itu melainkan Ainul seorang. Dia tidak sabar hendak menghabiskan masanya, cuba memikirkan apa yang akan dibuat nanti. Ainul tidak boleh tinggalkan suaminya dan nampaknya Mirza juga tidak boleh lari darinya. Jadi apa sekarang? Ainul memutuskan untuk tidak berfikir apa-apa buat sementara waktu ini, takut seleranya hilang semula.

Kurang dari satu jam kemudian, Ainul sudah pun siap berpakaian dan menuju ke tingkat bawah. Hanya dengan bau telur separuh masak dan sosej sahaja sudah membuatkan dia loya. Cepat-cepat Ainul keluar ke patio, sejauh yang boleh dari bau masakan tadi.

"Tak...." dia berbisik, merenung kosong di tepi kolam, di mana air biru jernih kolam seolah-olah bergabung dengan biru gelap lautan dan biru cair langit. "Tak tak tak.....tak mungkin....tolonglah Ya ALLAH! No..."

Ainul membenamkan wajah pada tangannya dan meggerakkan badan ke depan dan ke belakang perlahan-lahan. Kebiasaannya, Ainul akan merasa mual jika tidak menentu makan. Ah, memang betullah rasanya... dia cuma terlebih berfikir sahaja.

Tidak mungkin dia semalang ini, selepas akhirnya berjaya membuat keputusan sendiri dalam perkahwinan mereka. Ainul cuba mengingati kali terakhir dia datang bulan tetapi sejak dua menjak ini dia berada dalam keadaan tertekan dan sekaligus memberi kesan kepada hormonnya juga.  Dia bangun dengan berhati-berhati dan terasa lega apabila pergerakannya tidak menganggu keseimbangan badannya lalu menuju ke dapur. Menghela nafas lega, Ainul mengambil kuali, membuang segala sisa makanan semalam sambil memejamkan matanya, ke dalam tong sampah. Dia menetapkan ingatannya pada teh hijau dan roti bakar yang sedang dimakan, cuba menghilangkan rasa takut akan kehamilan keluar dari kepalanya.

Selepas menghabiskan hidangan yang tidak berapa menyelerakan, Ainul menuju ke loteng yang cerah yang telah pun berubah menjadi sebuah tempat kerja. Ainul memasang beberapa lagu, tenggelam dalam keasyikan kerjanya. Ainul selalunya menghabiskan masanya di sini, dia sukakan ketenangan yang selalunya menjengah dirinya ketika dia sedang bekerja tetapi hari ini dia tidak mampu menumpukan perhatian. Ainul mempunyai imej di dalam fikirannya, tahu apa yang dia mahu, tetapi dia tidak boleh melakarnya di atas kertas.

Ainul duduk di hadapan papan lukisannya, merenung lembaran kertas kosong yang kelima selama setengah jam, merehatkan sikunya di atas papan condong tersebut dan dagu halusnya di atas tangan kiri sambil merenung kertas, mengharapkan bayangan imej akan datang dalam fikirannya. Dia mengangkat pensil, meletakkan mata pensil di muka kertas, sebelum mengeluh berat dan menggelengkan kepalanya dalam kekecewaan. Dia menjatuhkan pensil dan menekan tangannya ke mata.

"Ainul," suara yang tenang datang dari belakangnya membuatkan Ainul terbangun dari kerusi, dia separuh berpaling, separuh berdiri dalam kedudukan pertahanan sebelum dia menyedari bahawa suara tadi adalah milik Mirza. Sudah pastinya itu tidak membuatkan dia rasa selamat juga berbanding dengan apa yang penceroboh akan lakukan padanya. Mirza mengangkat kedua-dua tangannya ke atas, tapak tangannya menghadap Ainul, cuba menenangkan isterinya.

"Relax... Aku minta maaf, aku tak berniat nak buat kau terperanjat," pujuk Mirza.

"Awak dah buat pun," Ainul menjawab, marah. "Apa yang awak buat dekat rumah sekarang ni? Selalunya pukul lapan baru awak ingat nak balik kan." Mirza selalunya bergerak ke tempat kerja sebelum pukul tujuh pagi dan kebiasaannya dia balik selepas semua suami 'normal' pulang ke rumah masing-masing.

"Aku ingat nak habiskan waktu petang bersama dengan kau," katanya sambil matanya meliar memerhati setiap sudut bilik tersebut. Mirza berjalan-jalan di sekitarnya, tidak mempedulikan renungan tajam si isteri, mengangkat barang-barang milik Ainul, bermain dengan alat-alat lukisan, sehinggalah Ainul tidak tertahan lagi.

"Jangan sentuh benda tu!" Lenting Ainul tidak sabar apabila Mirza mengangkat sepasang pemotong yang berharga sangat tinggi untuk diimport.

"Kau mereka bentuk barang kemas," Mirza berbisik dalam kekaguman, matanya akhirnya memandang Ainul dan Ainul melarikan pandangannya. Pipinya berubah kemerah-merahan, malu.

"Saya tahu tak ada gunanya," Ainul cemas, cuba merampas portfolio yang telah diambil oleh Mirza dari salah satu meja kerjanya: dia mempunyai papan lukisan untuk mereka bentuk, sebuah meja kerja untuk membuat barang kemas, sebuah meja kecil untuknya memotong wayar dan membentuk batu-batu separuh berharga dan sebuah meja khas yang menempatkan komputer ribanya, untuk kertas kerja dan surat-menyurat.

"Dan saya tahu saya tak sepatutnya buang masa dengan kerja ni. Tapi ini cuma sekadar satu hobi je....so..."suara Ainul semakin menghilang ketika Mirza terus menyelak setiap helaian portfolionya berserta kerutan di dahi, kadang-kadang terhenti lama pada satu halaman sebelum menyambung kembali melihat lukisan yang lain. Ainul berdiri di hadapan suaminya, menunggu kritikan dari Mirza yang bakal menghancurkan hatinya sebentar lagi. Mirza tiba-tiba menghulurkan buku yang terbuka itu kepadanya.

"Ini set pertunangan sepupu kau," Mirza memerhati, mengetuk beberapa kali menggunakan jari telunjuknya pada gambar set anting-anting berlian yang disaluti emas putih, loket dan cincin yang telah dibuat olehnya untuk Suhairi beberapa tahun dahulu.

"Ya tapi itu design Suhairi. Saya tolong buatkan je."

"Aku tahu yang ni bukan rekaan kau. Kau punya lebih kepada...." Mirza terhenti dan Ainul memeluk tubuh. "Raw elemental... kenapa kau tak reka guna batu permata yang asli je instead of batu separuh berharga macam ni?"

"Batu permata yang belum dipotong mahal sangat.  batu permata macam ni lebih murah and senang nak cari. Lagi satu, kalau dia rosak pun masa saya tengah buat, tak jadi masalah besar."

Mirza mengeluh lagi, nampak sangat dia tidak mendengar apa yang Ainul cakapkan, sibuk menyelak kembali portfolio di tangannya.

"Dan ini apa yang kau buat sepanjang hari?" Mirza memandangnya, meminta kepastian.

"Well I can hardly sit around and twiddle my thumbs all day, can I?" provok Ainul dan mata Mirza mengecil sedikit. Ainul mendengus kerana dia sedar bahawa itulah perkara yang suaminya fikirkan apa yang dia lakukan sepanjang hari. Mungkin Mirza ingat dia akan menghabiskan masanya dengan membeli belah dan berada di salon kecantikan.

"Kenapa aku tak pernah tahu pasal ni tentang kau?" Mirza bertanya lembut dan Ainul mengangkat bahu.

"Cuma satu perkara lagi yang awak tak pernah peduli untuk belajar tentang saya," lirih Ainul.

"Kau yang tak pernah nak bagitahu aku pasal diri kau," Mirza membalas garang dan mata Ainul merenungnya tajam.

"Awak berminat ke kalau saya bagitahu awak pun?" Mirza mengalihkan pandangannya dan kekal senyap pada soalan tadi.

"Berapa banyak yang kau dah jual?" Mirza mengubah subjek, menunjukkan ke arah portfolio Ainul.

"Takde," jawab Ainul. "Satu-satunya barang kemas dalam portfolio yang saya dah jual cuma set yang saya buat untuk Suhairi tu je. Itu pun cuma sekadar satu pertolongan."

"Tapi kenapa kau simpan je?"

"Apa yang saya buat ni belum mencukupi lagi. Just a silly hobby, a waste of my time, really, manalah saya mampu bertanding dengan real designers kat luar sana tu."

"Pelik betul, aku dengar suara kau tapi macam ayah kau pula yang tengah bercakap. Dia cakap yang kau ni belum cukup hebat, kan? Dan kau percayakan dia?" Mirza benar-benar kelihatan bengang tentang perkara tersebut.

"No.... yes... no... okay, saya memang tahu saya belum cukup hebat lagi; saya tak ada sebarang latihan formal. Saya print segala bahan melalui Internet, buat rujukan sikit dan mula bereksperimen. Saya seorang je yang sanggup pakai barang-barang ni dan itupun kat dalam rumah ni je."

"Aku rasa kau patut bagi Bryce Janssen atau Pierre Shelar tengok hasil kerja kau ni," Ainul tersentak, ragu-ragu dengan Mirza yang tiba-tiba berminat dan memujinya.

"Saya tak nak bazirkan masa diorang, diorang kan orang ternama." Dua lelaki yang Mirza maksudkan adalah merupakan pemilik kepada syarikat-syarikat barang kemas ekslusif di tiga benua.

"Aku tak rasa kau bazirkan...."

"Dah lah Mirza.. kita jangan sebut dah pasal ni lagi, boleh?" Ainul mencelah tiba-tiba dan Mirza dapat melihat ketegangan pada raut wajah isterinya. Wajah Mirza pula masih kekal ekspresinya dan dia mengangkat bahu sebelum perlahan-lahan menutup portfolio dan meletakkannya di atas meja.

"Suka hati kau lah," Mirza menggumam, sebelum menyambung kembali berjalan-jalan di sekitar bilik tersebut. Ainul melihat sahaja Mirza mengangkat barang-barangnya, memeriksa dan meletakkannya di tempat lain. Ainul masih duduk, memusingkan kerusi ke kiri dan kanan untuk membolehkan dia memerhatikan Mirza. Mirza akhirnya berhenti betul-betul dihadapannya.

Hampir sahaja Ainul terlompat dan terjatuhkan pensilnya apabila Mirza memegang dagunya menggunakan ibu jari dan jari telunjuknya.

Mirza perlahan-lahan mengangkat wajah Ainul sehinggalah pandangan sayu Ainul menghadap ke arah mata coklat suaminya.

Mirza melepaskan dagunya untuk membelai pipi mulusnya pula. Ainul cuba untuk tidak menepis sentuhan hangat itu tetapi dia gagal disebabkan oleh pandangan dingin Mirza pada wajahnya. Baru sahaja sesaat berlalu, tangan itu sudah jatuh semula ke sisi.

"Rahsia apa lagi yang kau simpan dari aku ya?" ujar Mirza perlahan.

post signature

Tags:

Share:

8 comments

  1. Sy menjadi semakin tamak! Tamak! Dan tamak!!
    Bab 9 pleeeeeseeeeeeeee ......
    Hehehehehhe

    Kak leen

    ReplyDelete
    Replies
    1. haha. maybe mnggu depan. or weekend ni. sementara sy still cuti, saya try habiskan asap. :)

      Delete
  2. Best...cepat smbung.

    ReplyDelete
  3. bestla..buatkan novel terus la..hehe

    ReplyDelete
    Replies
    1. xde syarikat yg bminat. hahaha. buat kat sini pun okay dah la kot :)
      thank you sudi baca.

      Delete
  4. best!!!!!!! tertunggu next entry

    ReplyDelete

hello dear :) x salah pun baca sambil komen kan.