Cinta Matchmaker -bab 13-


BAB 13

Kepala Safrina cepat sahaja mencecah bantal sebelum Alfie mengejutkannya daripada tidur yang indah. Selepas membersihkan diri, mereka berdua menjamu selera, walaupun pada hakikatnya dia sudah hilang nafsu untuk makan di waktu itu. Mereka akan ke Amber dalam beberapa minit sahaja lagi. Memikirkan yang keluarga Alfie akan melihat setiap gerak-gerinya membuatkan tubuhnya menggeletar. Safrina tahu dia sudah berjaya mengelak daripada menjawab segala persoalan yang bermain di minda bonda mertuanya sebelum ini. Kini dia kembali menjadi resah mengenangkan mereka akan hidup serumah tidak lama lagi.


Berpakaian skirt berwarna kuning karat dan gaun berjaket, dia sudah bersiap sedia untuk bertemu dengan keluarga barunya.

Alfie tidak bertanyakan langsung tentang mengapa dia terus membuang jeans dan baju T-nya ke dalam tong sampah di hotel. Suaminya cuma perasan akan pakaian tersebut dan tergelak besar.

Apa-apa sahajalah! Pakaian itu tidak perlu dibawa bersama pun kalau diikutkan..jadi tidak perlulah dia berasa canggung apabila berhadapan dengan Engku Faridah semalam. Tidak mahu pisang berbuah dua kali, Safrina cuba sedaya upaya untuk berpakaian sama taraf dengan permaisuri Ashburtonn yang terdahulu, mungkin gayanya lebih mengikut peredaran zaman berbanding dengan orang lain, tetapi tetap nampak sepadan dengan suami yang berada di sisinya nanti.

Hujan mengiringi perjalanan mereka di sepanjang tengah hari ke bandar tersebut. Safrina cuba menenangkan diri di tempat duduknya bersebelahan dengan suaminya.

Alfie bercerita tentang adik perempuannya, yang sebaya dengan usia Safrina. "Alfira selalu nak saya kahwin cepat-cepat."

Safrina terasa perutnya memulas mendengar kata-kata lelaki itu. "Awak tak rasa risau...." Safrina membiarkan ayatnya tergantung begitu sahaja, matanya tertumpu kepada pemandu yang berada di hadapan. Dia mahu bertanyakan jika lelaki itu risau mengenai adiknya yang akan berasa tidak senang jika dapat tahu mereka berdua cuma akan berkahwin dalam tempoh yang singkat sahaja.

Alfie tersentak. "Awak dengan Fira  mesti boleh ngam punya. Dia baik sangat. Mungkin manja sikit, tapi dia tak pernah berniat jahat dengan sesiapa."

Safrina menghentikan perbualan mereka mengenai Alfira dan akan disambung semula apabila mereka berdua dapat berbincang tanpa gangguan daripada orang lain. Hatinya mula terasa berat apabila fikirannya melayang pada orang yang bakal dia temui sebentar sahaja lagi. Memori berkenaan ayahnya, sebelum lelaki tua itu ditempatkan di dalam penjara, timbul di permukaan minda.

Sebagai seorang pelajar yang mengambil jurusan perniagaan, Safrina menghabiskan banyak masanya di luar berbincang tentang kejayaan ayahnya bersama dengan profesornya. Sedangkan teman lelakinya pada masa itu, Aidan, juga seakan-akan berminat untuk ambil tahu semuanya tentang Yahya dan segala harta kekayaan yang dimiliki.

Aidan merupakan seorang lelaki yang menawan, karismatik, dan lebih licik daripada musang yang setia menanti di lubang, menunggu arnab untuk keluar daripada sarangnya.

Dan Safrina adalah arnab itu yang tidak tahu dia sedang dipermainkan.

Membayangkan lelaki yang sangat dicintainya sanggup meletakkan ayahnya di belakang palang besi membuatkan hatinya pilu. Betapa bodohnya dia rasai. Mereka keluar bersama, makan bersama, belajar, padahal hakikatnya dia sendiri sahaja yang merasakan sebegitu. Sedangkan dalam masa yang sama, Aidan merekod segala perbualan mereka, bertanyakan soalan mustahak, dan membantu pendakwa dalam menentang ayahnya. 

Walaupun sekarang ini, beberapa tahun kemudian di samping suami sementaranya, Safrina tetap terasa sakit. Bukan sahaja dia telah memberi bukti kukuh kepada pendakwa tersebut, tetapi dosa ayahnya juga telah menyebabkan kematian ibunya dan juga menjejaskan kesihatan mental Sadiya.

Safrina ingat lagi hari di mana Aidan bersemuka dengannya tentang kebenaran siapakah lelaki itu yang sebenarnya. Aidan berdiri di sebelah ejen yang mengugut Safrina dengan memenjarakan ibunya jika dia tidak bekerjasama di dalam kes penyiasatan tersebut.

Ejen itu dan juga Aidan telah mendedahkan beberapa cara kotor yang telah dilakukan di dalam perniagaan ayahnya dan memberitahunya tentang peranti yang dipasang di dalam rumah mereka. "Kami ada sebab untuk percaya yang ibu kepada Cik Safrina tahu berkenaan jenayah yang dilakukan oleh ayah cik. Ataupun cik boleh cuba cari bukti yang lain. Kalau tidak, kami terpaksa memasukkan mereka ke dalam penjara."

Safrina tahu ibunya tidak tahu mengenai apa-apa, dan terlalu terkejut untuk bertanyakan soalan kenapa seorang ejen guaman perlu meminta anak perempuannya untuk membuktikan ibu sendiri tidak bersalah. Akhirnya, Aidan dan juga kawan-kawan lelakinya itu dengan senang hati menjatuhkan maruah ayahnya. Mereka tahu sebenarnya Puan Salwa tiada kaitan langsung dengan skim Encik Yahya itu.

Sudah terlalu banyak yang dia persoalkan tentang apa yang sudah dilakukan oleh ayahnya sepanjang tahun sebelum ini. Lelaki itu mempunyai beberapa rakan niaga, atau itu sekadar cakap kosong sahaja disebabkan dia tidak pernah lagi bertemu dengan salah seorang daripada mereka. Tidak sehinggalah profesornya di kolej bertanyakan tentang profesion ayahnya yang membuatkan dia mulai berasa curiga. Dia tidak dapat memberikan jawapan konkrit atas bagaimana ayahnya membuat duit... cuma dia tahu ayahnya berbuat perkara itu sahaja.

Dan ibunya pula, Puan Salwa, dia merupakan seorang isteri kepada lelaki hartawan. Dia makan tengah hari bersama dengan jiran elitnya, tidak pernah membasuh pinggan mangkuk sendiri, dan membuat tidak endah sahaja apabila ayahnya ada hubungan sulit dengan perempuan lain. Pakaian ibunya sentiasa sempurna, dan dia tidak membenarkan Safrina ataupun Sadiya meninggalkan rumah jika hanya memakai baju murah ataupun lusuh. 

Tahun pertama Safrina di kolej telah membuka matanya akan bagaimana dunia ini berlari. Sahabat perempuan yang dahulunya rapat pergi meninggalkan dirinya apabila mendapat tahu ayahnya telah dimasukkan penjara, menunjukkan Safrina terlalu banyak perkara termasuklah cara untuk berjimat cermat dengan apa yang dia miliki. Safrina terlalu bagga ketika dia memberitahu ibunya bagaimana dia telah menyimpan wang dengan sebaik mungkin. Jadi bil ayahnya akan mampu dibayar separuh daripada apa yang mereka semua jangkakan. Puan Salwa mengilas sekali ke arah jeans biru yang dipakai oleh anaknya dan menolak untuk mendengar. "Tak ada anak mama yang pakai baju buruk macam tu."

Terkilan, tetapi tidak mahu fikiran cetek ibunya menghentikannya daripada mempelajari tentang realiti kewangan, Safrina tetap menyambung mengasingkan sebahagian daripada elaun bapanya setiap bulan ke dalam akaun yang berlainan. Akaun tersebutlah yang telah membantunya bila mana pihak undang-undang mengaut segala wang dan harta milik Encik Yahya.

Kini, Safrina kembali semula kepada gaya hidupnya yang telah lama dia tinggalkan. Dia tidak mampu dari berasa risau akan apa yang bakal difikirkan oleh Engku Faridah, Alfira, dan sesiapa sahaja yang akan Alfie perkenalkan nanti, sekiranya dia dan suaminya berpisah.

Tangan Alfie menutup tangannya, membawa perhatian Safrina kepada tangannya yang mula menggenggam erat di atas ribanya. Apabila dia memandang pada mata cantik itu, dia ternampak simpati. Mungkin dia fikir yang aku ni gelisah sebab nak berjumpa dengan keluarga dia nanti.

Tanpa Alfie sedar, kerisauan yang dirasainya sekarang ini lebih dalam daripada biasa.

Buat pertama kalinya semenjak dia menyarungkan cincin lelaki itu, dia mempersoalkan keputusannya.

Apa yang akan terjadi sekiranya dia berkata atau berbuat sesuatu sehingga memusnahkan hidup Alfie, adik serta bondanya kelak? Mampukah Engku Faridah menghadapinya?

Safrina menggigil.

Apa yang akan terjadi sekiranya Engku Faridah mengambil jalan yang sama seperti ibunya dahulu?

Safrina menggelengkan kepala dan memaksa memori akan pengebumian ibunya berlalu pergi.

"Semuanya akan jadi baik, insya-ALLAH."

Tiba-tiba, Safrina menjadi tidak pasti.

Amber Hall semakin jelas di pandangan matanya ketika kereta mula berhenti di laluan bulatan tersebut. 



"Ya Allah," desis Safrina di bawah nafasnya. Rumah Alfie ini bersaiz istana kecil. Terdapat dua sayap bangunan yang bersambung dengan sktruktur di tengah itu. Safrina mengira tiga tingkat, tetapi dia tidak akan terkejut sekiranya rumah ini mempunyai bilik bawah tanah yang basar di tingkat paling bawah sekali. Menurut Alfie, terdapat tiga puluh lima buah bilik, tidak termasuk kuarters orang gaji. Bukan itu sahaja, Alfie juga turut menyatakan tentang bilik tarian dan rumah pemuliharaan, sebuah perpustakaan yang memuatkan beratus ribu buku, dan beberapa bilik menunggu yang dinamakan sempena warna dekor tersebut. "Bilik biru ni dekat dengan dewan utama, bilik merah pula ada dekat sebelah dia."

Melangkah keluar daripada limusin dan memasuki ke dunia Alfie membuatkan dia terasa bagaikan Cinderella di majlis tari menari. Cuma jam hanya akan berdenting selepas setahun berlalu sahaja. Safrina sepatutnya merasa selesa dengan fikirannya itu tetapi dia turut membayangkan labu dan tikus yang berlari-lari di kakinya dan dirinya yang memegang kasut kaca dengan rasa kesal yang menggunung.

"Sedia?" tanya Alfie sebelum mengiringinya ke dalam. 





post signature
thank you for spending your time exploring my world :)

Tags:

Share:

4 comments

hello dear :) x salah pun baca sambil komen kan.