Nafasku Hanya Untuk Dia S.E -bab 4-




BAB 4


Mirza membuka pintu dan terlihat kelibat kawannya. Alfie masuk ke dalam. Mereka berdua mendiamkan diri buat beberapa minit. Alfie tidak mahu langsung memandang ke arahnya.

     “Dia macam mana?” tanya Mirza.

      “Kau rasa dia macam mana?”

      Mirza mengangkat bahu.

      “Bagi seorang usahawan yang berjaya dan bijak, kau sebenarnya sangat bodoh,” kutuk Alfie. Tangan diletakkan di atas paha ketika dia merenung Mirza.

      Mirza hanya menunggu lelaki itu meneruskan kata-katanya. “Kau memang tak sayang langsung dekat Ainul ke?”

      “Mestilah aku sayang, sebab tulah aku buat macam ni.”

      “Mengarut! Ainul merana kau tahu tak. Dia tak faham apa yang dah terjadi. Kau kahwin dengan dia, dua kali pula tu, kau mengandungkan dia, dan sekarang kau suka-suka hati nak tinggalkan dia sebab rasa bersalah kau tu. Kau ni memang pengecut.”

      “Kau membebellah dekat aku banyak mana yang kau nak, Al. Aku tahu aku dah buat perkara yang betul.”

      “Kalau macam tu, kau minta tolong orang lainlah. Aku tak sanggup nak carikan peguam untuk buat benda ni. Lagi-lagi untuk isteri kawan baik aku sendiri. Kau carilah orang lain,” putus Alfie. Mirza terkejut. Dia selalu menganggap Alfie akan membelanya.

      “Kau kena tolong aku juga,” pinta Mirza.

      “Bukan dalam hal macam ni. Kau dah silap. Aku mungkin kawan baik kau, dan aku akan pertahankan kau bila masa yang kau perlu. Tapi ini bukan masa yang betul. Kau salah, dan kalau kau teruskan juga niat kau tu, kalau kau lepaskan Ainul, kau akan buat satu kesilapan yang paling besar sekali dalam hidup kau.”

      Alfie berpaling dan merenung di tepi tingkap apabila ada ketukan bertalu-talu di pintu rumah. Mirza meninggalkan kawannya untuk membuka pintu yang akhirnya menampakkan figura Suhairi dan Dalily. Sebelum sempat dia berpeluang untuk memberi penjelasan, Dalily menampar pipinya sekuat hati.

      “Berani kau?” Dalily berlalu pergi dan melangkah masuk ke dalam apartmentnya.

      “Dia tak nak aku hantar dia ke rumah Ainul. ‘Dalily nak jumpa lelaki bodoh tu dulu.’ Ayat dia. Bukan aku.” Suhairi berjalan melepasinya.

      “Kau serius nak tolong uruskan perceraian dia?” tanya Dalily, merenung tajam pada Alfie.

      Mirza tidak tahu apa yang perlu dia lakukan. Mereka semua mengerumuninya terlalu pantas. Dia perlukan lebih masa.

      “Aku takkan tolong dia. Sebab aku tahu keputusan dia ni akan makan diri dia sendiri juga.” Alfie berjabat tangan dengan Suhairi.

      “Yang aku tak fahamnya, dulu bukan main lagi kau nak tawan hati dia balik bila dia minta cerai dengan kau bertahun-tahun dulu, dan sekarang ni bila kau dah ada semuanya, kau nak lepaskan dia pergi macam tu je? Apa benda ni?” soal Suhairi.

      “Aku tak harap pun yang korang akan faham dengan pilihan aku ni. Ini keputusan aku, dan aku tahu ini adalah sebaiknya.”

      Dalily merengus, kecewa. “Kau sedar tak apa yang kau dah buat? Ainul tu dah lah cantik. Dia tahu apa yang ada dalam fikirannya, dan daripada apa yang aku faham dan tengok dengan mata aku sendiri, keyakinan dia makin bertambah sejak dia bersama dengan kau. You’ve already started the ball rolling. You’re putting her back on the market.

      “Habis tu?”

      “Aku faham apa maksud Dalily,” ujar Suhairi. “Kau berundur diri dan kau lepaskan dia pergi. Cuba kau fikir sikit, Mirza. Kau sanggup tak tengok lelaki lain bermesra dengan isteri kau nanti? Kau dah bagi peluang dekat orang lain untuk ambil apa yang dah jadi hak milik kau. Seorang ayah tiri kepada anak-anak kau.”

      “Ainul takkan sanggup buat macam tu,” jawab Mirza. Dadanya terasa bagai ditumbuk-tumbuk ketika mendengar ayat itu.

      “Ainul tak nak teruskan design batu permata tu. Kalau benda ni lah yang buatkan kau ceraikan dia, maknanya kau akan kehilangan perempuan yang kau cintai untuk sesuatu yang dia tak nak dan tak pernah mengungkit pun. Another man will give her what you’re taking away, dan kau takkan ada peluang dah untuk tawan hati dia balik,” jelas Dalily.

      “Kau tak tahu tu.”

      Sekali lagi, Dalily merengus. “Ya ALLAH, you’re so thick and stupid and annoying. Dah la Tahun Baru, dan kau pula sesuka hati nak ceraikan isteri kau. You know what? Aku kenal seseorang yang nak sangat keluar dating dengan isteri kau.”

      “Siapa?” tanya Mirza, terasa berang memikirkan wanitanya bersama dengan lelaki lain.

      “Raimy Zain,” kata Dalily bersama senyuman di bibir.

      “Doktor Adlan tu ke?” tanya Suhairi.

      “Ha’a, dialah. Isteri dia ceraikan dia tahun lepas. Dalily tahu lelaki tu dah lama suka dengan Ainul. Diorang berjumpa masa majlis barbeku yang Mirza dengan Ainul buat dulu. Diorang nampak macam sepadan je.”

      “Raimy tu dah tualah, dan tak payahlah nak sibuk-sibuk carikan lelaki lain untuk isteri aku,” tingkah Mirza. Amarahnya semakin melonjak naik. Dia pernah melihat bagaimana cara lelaki tua itu memandang isterinya. Raimy telah jatuh hati pada Ainul. Dia pasti itulah sebabnya mengapa isteri Raimy meninggalkannya, tetapi dia tidak pernah sebut tentang perkara itu kepada Ainul.

      “Kalau macam tu, aku cadangkan, baik kau fikir balik apa yang kau dah buat ni. Aku nak keluar. Nanti aku jumpa korang lagi.” Dalily melambai pada Alfie kemudian berlalu pergi. Suhairi duduk di situ beberapa minit.

      “Kalau kau nak teruskan juga, bini-bini kita akan bersatu dan diorang akan paksa Ainul untuk cari lelaki lain untuk lupakan kau. Mirza, aku tak tahu kenapa kau nak perceraian ni, tapi pastikan itu sebenarnya yang kau nak. Dalily dengan Safrina akan pastikan yang kau menyesal seumur hidup. Diorang semua tu dah macam adik-beradik kau tahu.” Suhairi meninggalkan mereka sesaat kemudian.

      “Aku pun nak gerak dululah sebelum isteri aku belasah aku pula. Tak pasal-pasal kang aku pun terkena.” Kata Alfie.

      “Okay,” jawab Mirza apabila Alfie melangkah keluar. Kemudian dia berlalu masuk ke dalam bilik tidur dan cuba melelapkan mata. Lebih cepat dia terlena, lebih cepat dia boleh melupakan segala masalahnya.


post signature

8 comments :

hello dear ! thanks for dropping by. i'll make sure to reply asap !

My Instagram

Copyright © The Minimalist Traveler. Made with by OddThemes