
Kami baru
sahaja berjalan ke jalan raya ketika dua lagi trak besar bergerak laju, dan
diikuti pula oleh sebuah kereta BMW berwarna hitam bersama cermin yang gelap di belakangnya.
“Diorang ni nak pergi mana sebenarnya erk?”
Nafas Nazifah semakin mereda.
“Entahlah,” kataku, jauh di dalam mindaku.
Bagaimana pula boleh ada trak sebesar alam
ini berkeliaran di waktu sebegini? Seingatku, tiada lagi rumah kosong yang melalui jalan
ini melainkan rumahku dan…
“Cempaka Sari Villa.” Aku mendengus, benci
dengan sikapku yang pelupa. “Aku betul-betul tak ingat. Villa tu sebenarnya dah dijual
awal minggu lepas.”
“Ye ke?” Tanya Nazifah, terkejut. “Aku
mengakulah, aku tak pernah sangka pula ada orang sanggup nak beli tempat macam
tu. Rumah tu dah boleh dikira macam istana tahu tak. Dah berapa lama dijual
dekat pasaran ya, empat, lima tahun kan? Kenapalah ada orang sanggup habiskan
duit dia dengan berpindah kat kampung terpencil ni?”
Aku menggelengkan kepala dan mengangkat
bahuku. “Agaknya diorang nak larikan diri dari orang jahat kot dan diorang
perlukan tempat untuk merehatkan diri. Inilah tempat yang paling sesuai kalau
difikirkan balik, betul tak?” Aku tergelak kecil.
Dia memandang ke arahku sambil
menghayunkan tangannya ketika dia berjalan dan ketawa. “Agaknyalah kot.”
Di sebalik tawaku ini, satu bisa bagai
menyucuk dadaku mengenangkan akan ada keluarga baru yang bakal menetap di rumah
itu. Datin Cempaka Sari sangat baik orangnya dan dia bersama suaminya telah
membina rumah tersebut untuk keluarga mereka pada masa hadapan. Aku masih
teringat lagi nenekku pernah memberitahu betapa kecewanya hati pasangan tua itu
apabila kesemua cucu mereka yang sudah membesar, pergi menghilangkan diri tidak
kembali lagi. Hanya satu sahaja cucu mereka yang rajin melawat, dan akhirnya
membantu mereka berpindah ke rumah orang tua.
“Alah, bagus juga kalau kau dah ada jiran
ni. Mak kau kan tak suka bila kau duduk sorang-sorang. Kau sedar tak sekurang-kurangnya
lima belas minit tau untuk polis sampai ke rumah kau, itupun speeding, kalau-kalau kau perlukan bantuan.”
“Tak pernah pula ada perkara buruk berlaku
dekat Night Jungle ni.” Aku mengekek. “Lagipun, atuk aku bukan je tinggalkan
aku rumah dia. Dia pun ajar aku macam mana nak tembak pakai senapang tau.” Aku
melangutkan kepala kepadanya dan membengkokkan lututku kehadapan; bibir kumuncungkan,
cuba membuat gaya seperti James Bond.

Dia ketawa padaku dan meneguk lama air mineralnya.
“Kiranya kau nak cakap yang duduk dekat rumah usang lagi menakutkan tu tak
pernah buat kau gerun langsung?” Nazifah berhenti berjalan dan merenungku tidak
percaya. “Aku nak bayangkan kau tengah pegang senapang pun dah buat aku
tergelak, Azwa. Minta maaflah, tapi agak-agaklah sikit, kau ni berat berapa je? 20kg?”
Aku mengangkat dagu, bangga. “47kg, alah,
bukannya jadi satu masalah pun.”
Sejujurnya, benar kata kawanku itu. Aku
selalu terasa bagai anak kecil ketika memegang senapang atukku setiap kali aku berlatih menembak. Tetapi masih, ia terletak elok dan terkunci di
dalam simpanan di bawah katilku, andai kata aku benar-benar memerlukannya.
“Satu-satunya benda yang aku takut sekarang ni kan
kat mana pulalah aku nak berenang nanti.”
“Kau berenang lagi ke dekat kolam Datin
Cempaka Sari tu?” Dia menghantar pandangan jelik kepadaku.

Aku menjulingkan mata. “Yalah, aku yang
selalu bersihkan kot kolam tu. Suka hati akulah nak berenang bila-bila masa
yang aku suka.”
“Jangan haraplah kau boleh berenang lagi
dah sekarang ni,” usiknya.
Aku menggigit bibir bawah, geram
mengenangkan tiada tempat untukku menyejukkan diri di waktu panas sebegini. Sekurang-kurangnya
aku akan mula mengajar tidak lama lagi dan harapnya dapatlah membantuku
melupakan tentang cuaca panas terik ini.
Nazifah dan aku sangat teruja untuk
mengajar di sekolah rendah yang sama sejurus selepas kami tamat belajar di
universiti. Dia cepat-cepat mengambil jawatan lebih tinggi yang mana aku rasa
tiada kaitan langsung dengan kedudukan atuknya sebagai pengetua di situ. Aku pula, baru
sahaja berputus asa untuk mencari jawatan cikgu di bandar bilamana, Siti
Samira, cikgu tadika yang baru sahaja berkahwin, memaklumkan berkenaan
kandungannya dan meminta untuk bercuti selama setahun.
Tiga minggu sahaja lagi dan kami secara
rasminya akan menggunakan segala ilmu yang telah kami pelajari selama ini
kepada generasi lain pula.
Kami mendaki bukit yang terakhir dan
melalui simpang ketiga yang akhirnya terjumpa kembali ketiga-tiga trak tersebut
yang diparkir di hadapan villa yang serba besar itu. Pintu pagar besi yang
besar berwarna hitam itu dibiarkan terbuka, memisahkan kawasan villa tersebut
dari jalan raya.
“Rasanya kita patut kenalkan diri
kitalah,” kata Nazifah, mencapai lenganku untuk menghentikan langkahku dari
melepasi kawasan villa itu.
“Tolonglah, cakap dekat aku yang kau tengah
bergurau sekarang ni?” Mataku membulat besar, melepaskan lenganku bebas dari
pegangannya.
“Apa? Tak baik tau kalau tak bertegur
sapa.”
“Tak, tapi lagi tak senonoh kalau
awal-awal lagi kita dah tunjuk kat diorang dengan baju macam ni.” Mataku
beralih pada badan kami, yang sudah basah dek peluh dan sudah semestinya bercampur
dengan bau yang tidak menyenangkan.
“Betul juga tu.” Dia ketawa, hidungnya
mengembang dan mengecut tanda jijik. “Jomlah kita berambus dari sini.”
Baru sahaja kami memulakan langkah, mataku
ternampak bayangan seseorang yang sedang menuju keluar dari pintu hadapan dan
berjalan ke balkoni. Lelaki itu sangat tinggi, bahunya tegap dan luas. Dia
hanya mengenakan sepasang jeans biru bersama kemeja T berwarna hitam yang
melekat elok di dada sasanya. Kakiku terhenti memberi izin kepada otakku untuk
menatap wajah itu dengan lebih lama.
Cahaya matahari pagi menyerlahkan rambut
ikalnya yang berwarna hitam itu berserta jambang halus yang menghiasi wajahnya. Perutku memulas dan nafasku tercungap-cungap.
“Wow! Itu ke jiran baru kau?” Suara
nyaring Nazifah bergema dan kepala lelaki itu tertoleh ke sebelah, matanya
merenung ke jalan raya di bawah dan akhirnya terus kepada kami.
Keningnya terangkat dan sebuah sengihan
nakal terukir di bibir itu.

best2x.... :)
ReplyDeletethank you :))
Deletebest 3x.
ReplyDeletethank you ^^,
Delete