
Terus sahaja
kakiku laju berjalan sepantas mungkin dari hadapan pagar lelaki itu sehinggalah
ke hadapan jalan rumahku sendiri. Buat pertama kalinya semenjak aku berpindah
tahun lepas, aku bersyukur aku tidak pernah memotong rumput yang sudah mula
meliar di kawasan halaman Villa Cempaka Sari itu. Walaupun aku gembira dengan
tindakanku ini, aku masih dapat merasa renungannya di sebalik pokok-pokok kecil
yang ditanam sebagai perhiasan rumah tersebut.
Lelaki itu sangat tampan. Tidak seperti
lelaki yang pernah kulihat sebelum ini. Selepas Darius, tiada lelaki lain yang
berjaya menarik perhatianku. Atas beberapa sebab yang tidak mampu kufahami, ia
menakutkan diriku.

Sebaik sahaja aku sampai di hadapan
rumahku, aku membuka pintu skrin, lega kerana Nazifah tidak mengubah fikirannya
dan pergi berbual dengan lelaki itu. Aku terasa geram, bukan ini caranya aku
ingin memperkenalkan diriku kepada jiran baru. Nazifah tergelak besar
dibelakangku dan aku menoleh untuk menasihatinya sejurus sahaja kami melangkah
masuk ke dalam.
Dia menahan diri dari ketawa dan
mengangkat tangannya untuk menghentikanku sebelum sempat aku berpeluang untuk
bersuara. “Bertenang, kau nampak okay je. Lagipun, dia jauh dekat atas kot
tadi. Tak mungkinlah dia nampak kita kat bawah ni.”
Oh, dia nampak kita okay!
Aku mengekorinya masuk ke dalam dapurku
dan mengeluarkan dua gelas tinggi dari almari. Aku sangat pasti yang lelaki itu
bukan sahaja sedar akan kehadiran kami berdua, tetapi tahu yang kami berdua
sedang mengilai ketawa seperti budak sekolah.
Perutku sudah mula berada di fasa tenang,
tetapi bayangan wajah itu kembali bertalu di dalam fikiranku membuatkan
perasaanku menjadi tidak menentu.
Aku tertanya-tanya jika dia akan nampak
lebih tampan dengan jarak yang lebih dekat pula.
“Aduhai, bertuahnya kau Wa!” Nazifah
tersenyum ketika aku meraih bekas ais batu dari dalam peti sejuk. Aku merenung
ke arahnya ketika aku meletakkan bekas tersebut ke atas kaunter.

“Kita bukan tahu apa-apa pasal lelaki tu
pun.” Tingkahku.
Aku menjulingkan mata sambil mendengar
bunyi clink dari ais yang bersentuhan
dengan kaca gelas ketika aku memasukkannya. “Entah-entah dia tu dah kahwin, ada
anak lima lagi,” aku menambah.
“Boleh jadi, atau mungkin juga dia masih
bujang dan sedang mencari seorang cikgu sekolah yang degil tahap dewa untuk
mengindahkan lagi hidupnya yang serba serbi kekosongan tu.” Nazifah
menggoyang-goyangkan keningnya ke arahku dan berdiri dari kerusinya, berjalan
melepasi ruang dapur itu untuk mengintai di sebalik tingkap sisi. Dari tingkap
tersebut, tiada sebarang pokok yang menghalang pemandangan halaman di sebelah
dan belakang Villa Cempaka Sari itu.
“Apesal pula nak indahkan hidup dia?”
Suaraku bergetar.
“Alah, apa salahnya. Sekurang-kurangnya
kau boleh bergembira juga sekali kan.”
Aku tersentak mendengar kata-katanya. “Tak
nak aku… aku dah cukup gembiralah.”
“Bila kali terakhir kau keluar dengan
lelaki? Huh?” Dia memusingkan lehernya dan menaikkan sebelah kening untuk
memandang semula ke arahku.
Mataku tertutup rapat, dia tahu akan kisah
cintaku lebih dari diriku sendiri. Kisah cinta siapakah ini sebenarnya?
“Tahu pun. Dah dekat setahun sejak mamat
bengong tu lukakan hati kau. Sekarang ni dah tiba masanya kau teruskan
kehidupan kau dan tunjukkan dekat orang siapa diri kau yang sebenarnya.”
“Seriously?”
Aku tergelak kecil dan kugelengkan kepala. Sungguh bukan gayaku.
Wajahnya bercahaya bersama senyuman lebar
yang menyerlahkan gigi mutiaranya yang putih berseri. Aku tahu dia sudah
menetapkan sesuatu di dalam mindanya. Dan tiada apa yang mampu membuat dia dari
berhenti melakukan apa yang dia mahu.
“Apa kata kau pergi mandi, stailkan rambut
bagi lawa sikit, bukannya serabai macam ni dan cari gaun comel-comel yang
selama ni kau biar terperap dekat dalam almari baju kau tu. Ooh, baju yang ada
sutera sekali dengan manik-manik dekat depan dia tu.” Sengihannya semakin
melebar. “Lepas tu kau pergi sana dan kenalkan diri kau. Mesti dia tergoda
punya dengan kau nanti.”
“Yelah,” balasku. Aku menoleh,
berpura-pura mengikut arahannya yang mengarut itu dan terkeluar juga tawaku
ketika aku sudah melangkah keluar dari dapur dan berpaling semula ke arahnya.
“Oh ya, lupa pula. Aku ni bukannya perempuan murahan.” Aku mengangkat tanganku
tinggi di udara sambil menjelirkan lidah kepadanya.
Nazifah mengalihkan perhatiannya ke arah
tingkap sekali lagi. “Eleh, jangan cakap yang aku tak pernah nak tolong kau pula
nanti,” katanya diikuti bersama gelak kecil.
Aku
menghabiskan mengisi air masak ke dalam gelas yang telah tersedia dari dalam
jug besar dan mengambil masa yang lama untuk minum. Bibir yang kering dan tekak
yang perit terasa menyengat buat seketika ketika ia mula menerima cecair
tersebut. Aku membawa gelas Nazifah kepadanya dan mendapati diriku sedang
merenung ke luar tingkap dengan penuh rasa ingin tahu.
Tiada apa yang boleh dilihat dari sini
melainkan seorang lelaki separuh umur yang berpakaian baju Polo berwarna biru
berserta seluar khakis sedang mengangkut kotak-kotak. Rasanya ada lebih kurang
sedozen pekerja yang memenuhi rumah tersebut bersama dengan perabot.
“Betullah cakap kau wei.”
Aku mengalihkan pandanganku untuk melihat
apa yang disaksikannya dan ternampak seorang budak kecil berambut ikal sedang
berlari-lari anak di sekitar halaman rumah tersebut. Dia sedang mengejar seekor
rama-rama, berlari sekeliling tanpa kisah akan dunia luar. Gambar yang
dilukisnya sangat comel, dan tidak semena-mena aku tersenyum apabila dia
terlompat, mencuba untuk menangkap serangga tersebut yang akhirnya tidak
membawa tuah.

Walaupun terasa bahagia melihat budak
lelaki cilik itu bermain-main di kawasan rumahnya, hatiku membiaskan rasa
kecewa. Kenapalah aku perlu kisah jika lelaki itu sudah berkeluarga pun?
“Baguslah untuk dia,” kataku, menarik
langsir dari tangan Nazifah dan membiarkan ia jatuh semula ke tempat asalnya.
Dia meneguk sedikit air dan berjalan
semula ke meja, melabuhkan punggung di atas kerusi bersama gelas yang masih
lagi di tangan.
“Bila Rizal dah buka tempat baru tu, aku
yakin mesti kau akan jumpa lelaki baik yang boleh cairkan hati kau sekali
lagi,” ujarnya.
“Aku dah tak laratlah nak menagih cinta
lelaki.” Aku berjalan kembali ke singki dan mengisi semula gelasku.
“Sekurang-kurangnya tak buat masa sekarang ni.” Sungguh aku tidak menipu.
Rancanganku termasuklah membaiki rumahku dan memberi perhatian sepenuhnya pada
tugasku sebagai seorang guru. Tiada lelaki yang mampu mengisi kekosongan di
dalam rancanganku ini.


Salam ukhwah..jalan-jalan blogwalking dari senarai peserta Segmen Nak URL Blog #3 Mialiana.com.. salam perkenalan, salam ceria dari MyCherita
ReplyDeletebest.
ReplyDeletethanks! :)
Delete