
BAB 4
“Mana boleh
macam tu. Kau baru 23 tahun! Muda sangat kot untuk bencikan lelaki.”
Aku memilih untuk mengabaikan dia,
memandang ke bawah ais yang sudah mencair di dalam gelasku.
“Janganlah macam tu, kau baru je ada satu boyfriend selama kau hidup, Azwa.
Anggaplah dia tu sebagai satu ujian sebelum kau berjumpa dengan lelaki yang
sempurna untuk kau.” Nazifah memusingkan kerusinya untuk memandangku. “Darius
tu dah semulajadi bodoh, tapi kalau ikut logik pun, kekasih sejak dari sekolah
menengah ni memang tak pernah kekal lamalah. Kau kena kumpul balik kekuatan kau
yang dulu. Tapi macam manalah kau nak cari yang lain kalau kau asyik sibuk je
memanjang.”
Aku mengangkat sebelah kening bersama
pandangan sinis. “Sejak bila kau tahu macam mana nak pikat lelaki ni? First date pun tak pernah lepas.”
Suaraku disulami dengan rasa geli hati yang tidak mampu kusembunyikan.
“Aku tengah menunggu Mr. Right akulah.” Nazifah tersengih, tetapi suaranya bergetar dan
aku sempat menangkap nada melankolik di dalam kata-katanya itu.
“Maksud kau, kau tengah menunggu Rizal
Hasmi.” Aku menarik keluar kerusi yang bertentangan darinya dan duduk. Aku
membuka kasut dan stoking menggunakan hujung jari kakiku. Geli jadinya kaki
yang sudah terdedah ini apabila udara panas mula menyapa mereka.
Nazifah menghabiskan air yang selebihnya
dan berdiri, tidak mengendahkan komenku. Dia meletakkan gelas tersebut di dalam
singki. “Aku gerak dululah. Aku nak mandi lepas tu aku nak beli barang dapur
sikit.”
“Agak-agak kau terserempak dengan Rizal
tak nanti?” Aku tersenyum, berharap untuk menceriakan hatinya.
Nazifah menjulingkan mata, ada sebuah
senyuman terukir di bibir itu.
Aku tidak pernah menyangka seorang lelaki
bermasalah seperti Rizal mampu menyentuh hati kecilnya itu. Tetapi ternyata dia
berjaya memandangkan aku asyik mendengar cerita tentangnya dari Nazifah tanpa
henti sehinggalah kini.
“Agak-agak budak lelaki kecil tu ada dekat
dalam kelas kau tak nanti?” duga Nazifah, sambil melangkah ke pintu hadapan.
“Siapa tahu? Tapi dia nampak macam muda
sangatlah nak masuk tadika.” Aku benci untuk mengakuinya, tetapi sebahagian
dari diriku tidak mengharapkan budak itu berada di dalam kelasku nanti. Tinggal
bersebelahan bersama bapanya, kelihatan kacak menawan setiap hari, sudah cukup
membuatkan hatiku resah.
Nazifah mengeluh. “Mesti seronok kan bila
tengok kau melayan budak-budak kecil tu semua. Almaklumlah, kau ni kan anak
tunggal. Sepupu pun langsung tak ada.”
“Hey! Aku pernah jadi babysitter okay.”
“Hmm, iyalah. Samalah tu.” Dia ketawa
ketika dia sudah menghampiri pintu skrin hadapan yang mengisi rumahku dengan
udara sejuk.
“Nanti aku jumpa kau Sabtu ni dekat
restoran Rizal, kan?” soalku.
“Hari Jumaatlah. Aku nak minta tolong kau
carikan baju yang sesuai untuk aku. Ha, jangan lupa berkenalan dengan jiran
baru kau tu. Nanti ceritakan semuanya dekat aku okay.”
Pandanganku beralih semula ke arah tingkap
apabila aku terdengar pintu itu ditutup perlahan.
Jiran baru. Itu sudah semestinya satu
perubahan yang perlu aku biasakan mulai dari sekarang. Aku tertanya-tanya akan
nama keluarga tersebut, atau lebih tepat lagi nama lelaki yang tampan itu. Dia
tidak kelihatan seperti lebih dari usia tiga puluh tahun pun; mungkin aku
sendiri yang menyangka bahawa budak kecil itu adalah anak lelakinya. Boleh jadi
anak saudara, atau juga anak kepada salah seorang kawannya.
Aku memandang ke bawah tanganku yang
berlabuh di atas meja, dan menggelengkan kepala sambil ketawa mengenangkan harapan
yang tidak pasti. Apa sudah terjadi dengan aku ini?
Selepas beberapa minit menikmati
ketenangan dan kesunyian, aku berdiri dan berjalan ke singki, meletakkan gelas
kosongku ke dalamnya. Aku terlalu ingin membersihkan diri, bukan sahaja dari
larianku tadi, tetapi juga dari imaginasi nakal yang mula terbayangkan wajah
dan tubuh lelaki misteri itu dari mindaku ini.

pendeknya nak lagi.
ReplyDelete