
Pandangan Pertama
Aku terjaga dek bunyi kuat dan bising yang datang dari tingkapku
yang sudah terbuka itu. Memusingkan badan, aku membenamkan wajah ke atas bantal
dan mendengus. Aku sudah mula membenci jiran baruku ini.
Perlahan-lahan, bunyi bising tadi semakin menghilang dan mataku
tertutup rapat. Rasa mengantuk menyapaku sekali lagi dan aku terlalu gembira
untuk merealisasikannya apabila tiba-tiba sahaja bunyi hentakan kuat mengisi ruang
rumahku membuatkan aku terus terjaga sepenuhnya. Aku mengengsot turun dari
katilku dan menghadap ke arah tingkap, hati terasa berang. Bunyi itu tidak lain
tidak bukan adalah daripada gerudi tukul, tetapi apalah fungsi mesin tersebut
kepada sesiapa di pagi hari sebegini?
“Ugh!” Aku menghentakkan kaki, menyampah, dan menuju keluar
dari bilik tidurku. Jari-jemari kularikan di rambut yang kusut sambil berjalan
mencari punca yang mengganggu lenaku sebentar tadi.
Aku terhenti di pertengahan jalan dan menyeringai ketika
melihat jam atukku yang tergantung di penjuru ruang tamu.
“Cet.” Ini tidak mungkin terjadi. Lapan suku pagi kalau tidak
silap pengiraanku.
Kebiasaannya, mindaku sudah ditetapkan agar aku akan terjaga
setiap pukul tujuh pagi untuk larianku. Bengang, aku memberus rambut yang
menghalang pandangan mataku yang kuyu dan mengeluh sebelum menyambung bergerak
ke dapur di belakang rumah.
Bersama kesenyapan dan kuapan yang besar, aku menolak tingkap
dan membuka tirai langsir dapur yang dihiasi dengan corak bunga pucat. Sudah
lama aku berniat untuk menukarnya, cuma masih lagi tidak berkesempatan. Mataku
secara automatik berlabuh pada seorang wanita muda yang berdiri di sebelah
kolam di halaman belakang Villa Cempaka Sari.
Rambutnya yang berwarna hitam pekat beralun lembut sehingga ke
pinggang. Badan yang langsing itu digayakan pula dengan blaus merah jambu
bersama seluar panjang berwarna putih. Tidak semena-mena ia sudah memberitahuku
segalanya yang perlu ku tahu. Oh tidak!
Dia merupakan pemilik kepada lelaki misteri yang kuhabiskan
malamku bermimpi tentangnya. Tidak hairanlah aku terlewat tidur. Hatiku terlalu
sibuk berangankan lelaki yang tidak bernama malam tadi. Sudah lama rasanya aku
tidak bermimpikan tentang seorang lelaki semenjak aku berpisah dengan Darius
a.k.a Dayus itu.
Aku merengus. Sesetengah orang sentiasa beroleh tuah di dalam
hidup mereka. Aku tertanya-tanya jika ada seseorang yang merampas tuahku atau
mungkin juga aku terlalu menderita mengenangkan kisah silam dan masih lagi
bersedih memerhatikan orang di sekelilingku jatuh cinta dan hidup bahagia
selama-lamanya sedangkan aku pula hidup bersendirian membuat kek hari jadi
untuk anak-anak mereka.
Nampaknya perempuan itu sedang menjerit memberi arahan, sebelah
tangan di pinggang, sebelah lagi pula dihalakan ke beberapa kawasan di sekitar
halaman tersebut. Rasa menyampah pula bila aku melihat dia. Sesungguhnya aku
bukanlah seorang perempuan yang senang cemburu pada sesiapa, lebih-lebih lagi
atas sebab seorang lelaki yang masih belum ku bertemu dua mata, tetapi ia bukan
sekadar tentang lelaki itu sahaja sebenarnya. Aku tidak mampu menyuarakannya
tetapi jauh di sudut hatiku, aku mengagumi perempuan itu walau hanya sekilas
pandang. Suami kacak, anak comel, dan sebuah rumah yang cantik.. itulah impian
yang aku dambakan selama ini.
Aku menjatuhkan peganganku di langsir dan berkata pada diriku
sendiri, ”Well, that’s that.”
Secara rasminya, lelaki misteri itu sudah terkeluar dari
senarai. Tiada alasan lain untuk menghabiskan masaku membayangkan wajah lelaki
tersebut.
Bukan sahaja lelaki itu sudah dimiliki, tetapi dari apa yang
aku nampak, kolam kesayanganku juga bakal dimusnahkan. Bertuahnya kau, Azwa.
____________________________________________________________________________
Di ketika itu juga, aku mendapati diriku sedang menjalankan
rutin pagiku… berlari di dalam kedamaian. Nazifah tidak mungkin akan menemaniku
lagi, aku terlalu pasti akannya. Selama bertahun aku mengenalinya, aku tidak
pernah melihat dia penat sebegitu rupa. Dia lebih suka bersenam di gim pada
waktu petang. Sangat berbeza dengan aku.
Ketika aku melepasi simpang yang pertama, seluruh fikiranku hanya
tertumpu pada kolam Cempaka Sari sahaja dan jiran baru yang kacak itu pula
sudah lama menghilang dalam mindaku. Semuanya kelihatan sempurna. Sekumpulan
awan yang berarak membuatkan aku bersyukur kerana ia meredupkan matahari pagi
yang memancar terik ke bumi.
Bau udara pagi yang segar menyelubungi rongga hidungku setiap
kali aku bernafas. Muzik memenuhi seluruh pendengaranku, mendendangkan lagu
Justin Timberlake berulang kali.
Sebuah senyuman terukir di bibir apabila aku hampir sampai ke
penghujung jalan yang bertulis ‘you are
now entering city limits’ di sebuah papan tanda kecil di situ. Kakiku
bergerak ke hadapan, melajukan lagi larianku. Ketika aku melepasi jalan untuk
berpatah semula ke tempat aku datang tadi, seluruh tubuhku semakin terasa
hangat.
Aku menyambung larian, tetapi langkahku semakin perlahan dan
memberat, apabila mataku terkunci dengan matanya.

Itu dia.. aku punya jiran baru. Seorang putera raja yang
sentiasa mengisi malamku, berlari dengan hanya memakai kemeja T kelabu berserta seluar separas lutut
berwarna hitam sahaja. Mataku terpaku pada dada sasanya yang terbentuk jelas di bajunya yang ketat itu.
Menggelengkan kepala untuk mengelakkan diriku dari berfantasi
lagi, aku menghadiahkan sebuah senyuman mesra dan berdoa agar ia nampak
meyakinkan dan tidak canggung.
Emosi yang berbolak balik di dalam hati membuatkan aku bingung.
Ini sungguh bukan diriku yang sesuka hati menggoda mana-mana lelaki,
lebih-lebih lagi jika lelaki itu sudah pun berumahtangga. Aku mencapai ke bawah
dan melarikan jemariku di atas iPod, mematikan muzik tadi.
“Pagi,” katanya, mata itu bercahaya dengan keterujaan dan
disebabkan terlalu gelabah, aku menutup mata dan menyambung berlari melepasinya
tanpa satu suara pun yang terkeluar. Hebat!
Apalah yang ada pada lelaki ini sehingga membuatkan tubuhku
bereaksi tidak menentu. Syukurlah aku sudah jauh darinya. Tetapi aku tersedar
yang dia juga mungkin akan melalui tempat yang sama, di mana aku bakal berjumpa
dengannya sekali lagi di belakangku nanti.
Tidak semena-mena badanku kaku. Aduh, sudah berapa lama agaknya
lelaki itu berada di belakangku?
Memikirkan bahawa aku mungkin sudah melakukan sesuatu yang
mengarut atau memalukan dan tanpa sedar dia sedang memerhatikan kelakuanku
membuatkan telingaku berdesing dan perutku memulas.
Aku tidak pernah bertindak separuh sedar sebegini, dan apa yang
mampu kulakukan hanyalah mengimbau kembali momen sepanjang setengah jam yang
aku habiskan dengan berlari tadi. Kehangatan menyelubungi tubuhku dan jantungku
terhenti sesaat apabila memori lima belas minit lebih awal tadi kembali
bertandang di dalam kepala.
Terperasan akan lopak air
di hadapan, aku mengangkat tangan ke atas kepalaku dan menari-nari di
sekelilingnya, berlagak seperti aku ini seorang penari ballet yang hebat.
Aku mengeluh berat. Apa
kenalah dengan aku ni? Nasib baiklah aku tidak meneruskan aksi pelikku
tadi, walaupun menari sebegitu hanya akan membuatkan aku ternampak akan dirinya
lagi cepat.
Hai, banyak tuah betul aku hari ini. Akhirnya aku meneruskan larianku
dan….oh, tidak. Darahku mengalir sejuk, kakiku yang semakin memberat membuatkan
pergerakanku semakin perlahan. Wajahku semakin terasa hangat. Astaghfirullah
al’azim.
Aku menarik keluar dengan tangan yang menggeletar dan
mencampakkannya di atas bahuku. Bagai terasa mahu pengsan sahaja di situ kerana
terlalu malu. Memori ketika aku berhenti untuk mengikat tali kasutku sejurus
selepas aku meninggalkan rumah membuatkan jantungku berhenti berdegup. Selepas
mengikat tali tersebut sebanyak dua kali sama seperti yang dilakukan oleh budak
kecil, aku berdiri dan… alahai seluar aku ini.
Aku menghembuskan nafas berat dan menggigit kuat bibir bawahku
ketika teringat saat di mana aku berdiri, aku tertarik hujung seluarku dan
akhirnya ia terlondeh sedikit menampakkan bahagian belakang yang tidak patut
dilihat oleh sesiapa pun.
Tolonglah bunuh aku
sekarang.Aku benar-benar mengharap agar bumi akan membuka mulutnya dan
menelan tubuhku ini.
Aku terpaksa memaksa diriku untuk percaya bahawa lelaki itu
sudah berada di laluan pejalan kaki di belakangku ketika peristiwa itu terjadi.
Memikirkan yang dia melihatku mengangkat semula seluarku yang sudah terlondeh
amat berat untuk aku terima.
Kasihan lelaki itu. Bukan sahaja dia mempunyai seorang wanita
yang cantik jelita di sisinya, dia juga turut mempunyai jiran pelik seperti aku
ini yang sesuka hati menari di sekeliling lopak bagai dunia ini aku yang punya
dan juga memakai seluar yang terlalu longgar membuatkan seluarku londeh tidak
semena-mena.
Yeah, aku menganggukkan kepala, tidak perlu lagi rasanya aku
berasa resah untuk membuatkan dia kagum dengan diriku lagi.
Ya Allah, kenapalah aku
mesti pakai seluar ini hari ini?Aku mengeluh, berlari lebih laju dan
mengerling pada seluarku yang longgar. Ia berwarna biru pucat bersama belang
berwarna merah jambu di setiap sisinya. Ibuku membeli pakaian ini ketika aku
memasuki pertandingan larian di sekolah menengah.. tahun pertahamaku di sana.
Bajuku pula sekadar jersi berwarna putih yang hanya layak dijadikan sebagai
alas kaki sahaja memandangkan sudah terlalu banyak kotoran di bahagian
depannya.
Jarang pula ada orang akan melalui kawasan ini, lebih-lebih
lagi di waktu sebegini. Itupun sehinggalah trak besar semalam yang hampir
membunuh aku dan Nazifah dan juga sekarang ini.
Aku terlalu asyik dengan duniaku sehinggalah aku terdengar
bunyi seseorang berdehem. Oh tidak. Aku menoleh ke kiri dan dia di situ,
melangkah setapak supaya berdiri di sebelahku.
“Um, hi.” Aku mengeluh melihatkan kelakuanku ini. Gugup
bukanlah permulaan pada setiap perbualan harianku tetapi memandangkan kami
berdua sudah menyedari akan betapa bodohnya aku sudah beraksi pagi ini, aku
mengabaikannya.
Dia merenung ke arahku bersama senyuman manis, sambil meliar
memandang ke atas dan ke bawah tubuhku. Lantas aku merenung tajam padanya,
menghantar amaran supaya tidak suka-suka memandangku sebegitu.
Dia tidak berkata apa-apa, tetapi aku dapat menangkap sinar
tawa di dalam matanya sebelum dia memandang ke hadapan jalan yang kami lalui.
Dan tiba-tiba sahaja dia tergelak.
Itulah ketawa yang paling seksi sekali yang pernah kudengar.
Menjulingkan mata, aku kembali berlari perlahan, memakukan pandangan di
hadapan.
Okay, tak adalah seksi
mana pun.
Terlalu sukar bagiku untuk tidak mengendahkan perasaan yang
mula bertandang di dalam hati. Setiap otot bekerja lebih masa cuba memastikan
aku berlari dengan betul sementara aku memastikan penampilanku sentiasa nampak
menarik di matanya.
Mengalahlah, Azwa. Dia kan
dah kahwin. Nafasku menjadi tercungap-cungap ketika aku ketawa. Aku sudah
hilang akal. Menarik atau tidak, aku bukanlah jenis perempuan yang suka memikat
lelaki dengan cara seperti ini dan aku terlalu pasti aku tidak mahu
memulakannya sekarang.
“Awak selalu lari ke awal-awal pagi macam ni..?”
“Azwa,” kataku, menjawab soalan yang tidak ditanya langsung
itu.
Bibirnya mengukir senyuman manis. “Saya Ikhwan.”
Akhirnya, ada juga nama. Mengalihkan pandanganku ke tangan
kanan Ikhwan, aku tidak ternampak langsung sebarang cincin di jari manisnya.
“Jadi?” katanya, menunggu.
“Hmm?” Aku sudah kehilangan punca. Apa pula yang ditanya oleh
lelaki ini tadi? Kenapalah kami tidak boleh berlari dengan tenang sahaja?
Sudahlah lelaki ini nampak terlalu menggoda, lagi-lagi bila berada dekat
dengannya.
“Awak selalu lari hari-hari awal pagi macam ni ke? You’re in great shape.” Dia memandang
sekali lagi ke arah tubuhku, mengerling seketika pada kakiku dan naik semula ke
atas, tersengih. “Very nice shape,”
ulang Ikhwan bersama suara yang garau.
Aku menelan air liur, mengelipkan mata, dan memandang bawah ke
arah kakiku. Sambil terus berjalan perlahan, aku mengingatkan diriku.
Dia bukanlah milik sesiapa.
“Ha’a. Setiap pagi.” Aku perlu menyedarkan diriku tetapi
panahan mata lelaki itu setiap kali aku menjeling ke arahnya membuatkan aku
tergoda. Pandangan itu terlalu berkuasa, dan ia membuatkan aku kehilangan nafas
serta-merta.
“Awak pula? Awak pun apa kurangnya.” Akhirnya, aku mampu
bersuara dengan ayat yang penuh dan tanpa gugup.
Ikhwan tersenyum sinis. “Setiap pagi. Walaupun dekat bandar
dulu, saya berlari dekat atas treadmill je.
Pagi ni rasa macam nak ubah selera pula.”
Aku menjulingkan mata. Berapa lama dia akan mengekalkan senaman
ini?
“Hmm…” Tiba-tiba kakiku tersadung ke dalam lopak di jalan yang
tidak rata itu dan badanku mula tersungkur ke hadapan, tangan tergapai-gapai
ganas.
Aku sudah tahu apa yang akan terjadi, dan pasrah menunggu sahaja
akibatnya.

best 3x.
ReplyDeleteWah wah wahh sodappp citerr..
ReplyDeleterasa berbunga je hati bila di usik cinta nih hiksss
ReplyDelete