
BAB 6
Tangan yang kuat cuba memeluk
pinggangku, tetapi ia sudah terlambat untuk menghentikan kakiku dari tersadung
dan akhirnya aku terjatuh di atas jalan sehingga terluka kulit di lututku ini.
Pegangan Ikhwan masih belum terlepas dan dia perlahan-lahan
membantuku duduk.
“Saya okay.” Aku mendesis, hangat terasa di pipi. Aku terlalu
pasti yang dia akan bertanya. Aku memandang ke atas, merancang untuk berkata
‘iya, saya okay je’ tetapi pandangan yang penuh dengan kerisauan itu membuatkan
aku kaku.
Berpura-pura tidak terasa sakit ketika matanya dipenuhi dengan
rasa prihatin adalah sangat mustahil.
Teragak-agak, aku mengalihkan pandanganku untuk memberi
perhatian pada lututku ini. Ia sudah dikotori dengan lumpur dan darah. Hai,
nasiblah kau lutut.
“Nampak macam teruk je.” Dia membongkok untuk melihat kesan
lebamku; otot di belakang tubuhnya yang terdedah menegang dan berkilat dek
titisan peluh. Dia pasti melakukan lebih dari sekadar larian biasa di pagi hari
untuk mendapat tubuh sebegitu.
Bau haruman yang segar dan maskulinnya memenuhi rongga
hidungku. Baunya sama seperti aku membayangkan seorang lelaki sejati punya
bauan. Darius selalu menyembur minyak wangi dengan kuantiti yang terlalu banyak
menyembunyikan haruman semula jadi dari tubuhnya.
Dek terlalu asyik menatap tubuh berkulit Melayu tulen itu, aku
tidak perasankan dirinya yang sedang memegang air botolnya.
Aku mengaduh, menggigit bibir menahan kesakitan ketika dia mula
mencurahkan air yang sejuk itu ke atas lukaku. Cecair yang mengalir jatuh ke
lututku sedikit sebanyak mengurangkan kepedihan yang sejak tadi kurasai.
“Terima kasih,” aku menggumam, tidak memandang langsung
wajahnya.
“Awak rasa awak boleh jalan balik rumah tak ni?” Ikhwan
bertanya sambil berdiri. “Ada dalam setengah batu lagi tau nak sampai.”
“Alah, tak ada apa-apa punyalah.” Memikirkan yang aku akan
berjalan terhencot-hencot sangat tidak menyenangkan hati, tetapi apa lagi
pilihan yang aku ada.
Sengihan yang aku lihat tadi sudah bertukar menjadi ekspresi
prihatin dan aku tidak mampu menahan diri dari tersenyum apabila dia membiarkan
aku berdiri di atas kakiku sendiri.
Aku berdecit ketika kesakitan mula terasa di bahagian lutut
sebaik sahaja ototku menegang. Kedua-dua tanganku mengusap di sekeliling luka
tersebut tetapi ia langsung tidak dapat membantu walau sedikit pun.
“Hop on.”
Aku memandang ke hadapan dan ternampak Ikhwan yang sedang
membongkok menghadap arah yang bertentangan dariku. Kemudian, dia memusingkan
kepala ke belakang dan tersenyum sumbing.
“Jomlah, biar saya dukung awak.” Keningnya terangkat dan dia
menggoyangkan kepalanya sedikit untuk menunjukkan kepadaku supaya aku berdiri
di belakangnya.
“Eh, awak ni serius lah sikit!” Aku ketawa cemas, menunggu
Ikhwan untuk ketawa sambil berdiri dan memberitahuku bahawa ia cuma sekadar
satu gurauan sahaja.
“Cepatlah naik, Azwa.” Nada suaranya lain ketika ini. Tiada
jenaka dan tidak serius bunyinya. Meminta, tetapi masih lagi lembut.
“Um… tak perlu kot rasanya.” Luahku, terkesima. Tidak pernah
kufikirkan sama sekali untuk memeluk tubuh lelaki itu dengan tubuhku yang sudah
basah kuyup dek peluh ini.
“Sama ada awak naik atas saya atau saya angkut je awak letak
kat atas bahu saya ni.” Dia berdiri dan berpaling untuk menghadapku, riak
wajahnya tidak dapat kukenal pasti. Dia terlalu sukar untuk dibaca.
Aku terpegun. Dia tidak bergurau. “Saya tak..” Suaraku pecah,
tawa resah bagai tersekat di kerongkongku.
“Baiklah kalau macam tu, saya angkut awak letak atas bahu saya
je.”
Sebelum sempat aku membidasnya ataupun cuba melarikan
diri…bukanlah jauh pun kalau diikutkan jika dikira dari sudut kemampuan aku
sekarang ini… dia sudah meletakkan tangannya di sekeliling pinggangku dan
tubuhku tercampak di atas bahunya. Lagaknya sudah seperti seorang bomba sahaja.
Dia mungkin lulus untuk menjadi salah seorang bomba tetapi aku tidak perlu
dibantu dengan cara sebegini.
Panik mula menguasai tubuh, mataku melebar dalam kejutan.
“Turunkan saya! Saya boleh jalanlah!” Aku menengking sambil menumbuk belakang
tubuhnya tetapi dia mula berjalan membuatkan aku tidak mampu untuk
menghalangnya.
Bibirku hanya beberapa inci sahaja dari kulitnya dan haruman
tubuhnya itu menodai rongga hidungku sepenuhnya. Fokus, Azwa, fokus!
“Awak memang selalu
degil macam ni ke?” dia bertanya, akhirnya memecahkan kesunyian di antara kami
berdua.
“Boleh tahanlah,” aku menggumam melalui ketapan gigiku. Tubuhku
sudah longlai di dalam pelukannya, tergantung di atas bahu luas lelaki itu
seolah-olah aku ini hanyalah seketul daging.
Ikhwan ketawa kecil. “Dah agak dah.”
Apabila kami sampai sahaja di rumahku, aku mengeluh. Akhirnya.
Dia mendukungku sehinggalah kami sampai betul-betul di anjung
hadapan.
Aku menunggu dia untuk menurunkan aku tetapi dia tidak
bergerak. Dia cuma berdiri di situ, berfikir ataupun membuat perkara yang lain.
Tubuhku menjadi kaku. Aku tidak suka untuk memikirkan apa yang ada di dalam
fikirannya sekarang ini. Aku cuma mahu berlari masuk ke dalam dan menghentam
pintu tersebut di hadapan mukanya, itu sahaja, walaupun tubuhku seolah-olah
tidak bersetuju dengan diriku.
“Turunkanlah saya, bengong!” Aku menengking dan memukul
belakang kepalanya.
Dia ketawa, dalam. Seluruh tubuhnya bergetar, membuatkan aku
juga turut bergerak ke atas dan ke bawah mengikut iramanya.
Berdiri sahaja di kaki sendiri, aku meluruskan bahu,
mencerunkan mata dan mengetap bibirku.
“Nanti jangan lupa bersihkan luka kat lutut awak tu,” katanya
tidak mengendahkan renungan tajamku. Wajahnya sudah beriak serius tetapi nada
suaranya masih lagi kedengaran mesra. “Sayang pula kalau kaki cantik awak tu
kena jangkitan.”
Aku menjulingkan mata buat kali kedua puluh pagi ini. Apalah yang sudah terjadi dengan aku ni? Aku
berpaling dan mengomel, “Apa-apa je lah. Terima kasih atas pertolongan awak
tadi, rasanya.”
Ikhwan berpusing dan menuju ke luar dari kawasan rumahku tanpa
sebarang kata.
Menarik nafas dalam, aku menghembuskannya keluar ketika aku
terdengar dia bersuara.
“Thanks for the view this
morning, cutie pie. It was magnificent.”
Aku memandang ke arahnya yang sedang berdiri di hujung jalan
rumahku, tersenyum sinis.
Aku semakin biasa dengan pandangan itu.
Yep, dia sememangnya
sudah lama berada di belakangku masa aku berlari tadi.
Tidak lagi.
Mulai sekarang, aku akan berlari pada waktu petang pula.

Wah, macam best je citernye :) Keep writing Amy..:)
ReplyDeletebest!
ReplyDeleteBest2x...
ReplyDeletebest 3x.
ReplyDeleteMmg ada bakatlah amy ni
ReplyDelete