
BAB 7
Selepas membersihkan diri dan
membalut lukaku, aku menghabiskan hariku dengan memasang radio sekuat hati untuk
menghalang daripada gangguan yang sedang berlaku di sebelah rumahku ini.
Tanpa penghawa dingin, aku terpaksa membuka tingkap semata-mata
untuk menyelamatkan diri daripada kehangatan yang mula terasa sebaik sahaja aku
menghabiskan makanan tengah hari. Aku berjaya menyibukkan diri daripada
membayangkan kembali peristiwa pagi tadi.
Aku membersihkan habuk, vakum, dan mula mencuci lantai rumahku
sebelum memanjat naik ke atas loteng yang menyimpan segala harta benda milik
atuk dan nenekku.
Ketika pertama kali aku berpindah ke sini, Nazifah membantuku
mengosongkan perabot-perabot lama untuk meletakkan barang baru yang mengikut
citarasaku. Sedih tetap terasa apabila melihat rumah itu kosong secara
perlahan-lahan tetapi aku masih menyimpan sebahagian daripada barang orang tua
kesayanganku. Ia mula terasa bagai berada di rumah yang dipenuhi dengan kasih
sayang dari atuk dan nenekku di setiap dinding yang terbina ini.
Selepas atukku meninggal dunia empat tahun yang lepas, nenekku
perlahan-lahan semakin kucam. Kematian suaminya amat berat untuk dia terima.
Lagi-lagi apabila satu-satunya anak yang mereka ada.. ayahku.. menghilangkan
diri beberapa tahun lepas dan tidak pernah berniat untuk memunculkan diri di
majlis pengebumian atukku.
Setiap tahun ayahku akan menghantar sekeping kad hari jadi
bersama wang seratus ringgit terselit di dalamnya. Tiada sebarang alamat di
situ, jadi aku tidak mampu untuk membalas setiap kad yang diberinya.
Sehinggalah tibanya majlis hari jadiku yang kelapan belas apabila kad tersebut
bukan sahaja tertera alamat rumah ayahku tetapi juga disertakan sekali dengan
nombor telefon bimbitnya yang tertulis di bawah ayat terakhir, ‘sayang kamu
selalu, Ayah.’
Aku tidak pernah menelefon, tetapi sama seperti kad-kad yang
sebelum ini, aku sekadar menyimpannya di dalam kotak kecil dan meletakkannya di
bawah katilku bersama duit di dalamnya sekali..tidak bersentuh.
Itupun sehinggalah beberapa bulan selepas atukku meninggalkan
kami. Aku bertanya kepada ibuku jika sesiapa ada terdengar berita dari Azmi,
ayahku, tetapi pandangan wajah ibuku sahaja sudah memberikan jawapan tidak.
Nampaknya ayah aku tidak mahu dikesan oleh sesiapa melainkan aku seorang
sahaja.
Beban mula terasa di bahu apabila nenekku jatuh pengsan di
ruang tamunya malam selepas dia kehilangan suaminya. Dia perlukan anak
lelakinya, jadi aku mengeluarkan kotak bersaiz kasut budak kecil dan mendail
nombor itu.
Seorang lelaki menjawab di saat deringan kedua berbunyi dan apa
yang aku rasakan hanyalah kesedihan, tiada amarah. Aku bertanya jika Azmi
Khalid ada ataupun tidak dan dia sekadar menjawab ‘ya, saya’.
Saat kebenaran. Aku boleh sahaja meluahkan segala rasa kecewaku
atas sikapnya yang sesuka hati mengabaikan tanggungjawabnya dengan meninggalkan
kami berdua, aku dan ibuku, tanpa sebarang berita. Ibuku berusaha sedaya upaya
untuk membesarkan aku dan disebabkan itulah aku terlalu menyayanginya. Aku
bukanlah orang yang suka menyimpan dendam di hati. Dia hanyalah Azmi Khalid,
bukan lagi ayahku.
Cuma ada satu perkara sahaja untuk diucapkan kepadanya
hari itu.
“Arwah atuk meninggal dalam tidur malam tadi. Esok dia akan
dikebumikan.”
Aku mematikan talian, berasa bangga dengan apa yang sudah aku
lakukan. Bukanlah untukku, tetapi untuk nenekku.
Aku tidak pernah memberitahu sesiapa berkenaan dengan panggilan
telefon itu dan juga tentang kewujudan nombor tersebut. Aku berperang dengan
perasaan sendiri untuk memberitahu kepada ibuku tetapi aku tidak mahu
mengecewakan hati sesiapa andai kata ayahku tidak dapat hadir. Ibu bapa kepada ibuku
meninggal dunia sebelum aku lahir lagi, kemalangan kereta, tetapi ayah Azmi
Khalid melayannya seperti anak gadisnya sendiri. Lebih-lebih lagi apabila anak
lelakinya meninggalkan ibuku bersama seorang anak kecil untuk dibesarkan
sendirian.
Majlis pengebumian akhirnya tiba dan tiada apa yang berlaku
melainkan air mata dan memori indah sepanjang atukku hidup di dunia ini. Tiada
sesiapa bercerita mengenai Azmi Khalid, hatta lelaki itu juga tidak memunculkan
diri.
Itu adalah kali terakhir. Aku mengumpul semula semua kad yang
diberinya dan menghantar ke alamat yang tertera dari kad hari jadiku yang
terakhir.
Nenekku meninggal dunia lima bulan kemudiannya di dalam tidur,
di tempat tidur atukku, sambil memeluk erat gambar suami dan anaknya sewaktu
mereka masih lagi bergembira bersama.
Aku tidak lagi menelefonnya kali itu. Aku sudah pun membuangnya
dan sama seperti sebelum ini, dia tidak pernah munculkan diri.
Jadi sekarang ini, sambil duduk di loteng bersama kotak yang
berisi memori zaman kecil ayahku, ia membuatkan lebih mudah untuk aku
membuangnya dan membakar bersama barang yang lain.
_______________________________________
Sebaik sahaja matahari mula melabuhkan tirainya, loteng rumahku
sudah hampir kosong sepenuhnya dan tinggal beberapa barang sahaja di atas. Senang hati aku kali ini. Aku duduk di halaman belakang rumahku sambil menikmati
nasi goreng ayam untuk makan malamku, tersenyum melihat langit yang dihiasi
dengan pelbagai warna.
Aku mengeluh, ketenangan mula menyelubungi diri. Para pekerja
yang berkerja di rumah jiranku sudah mula beransur pulang dan kerusi di
berandaku terasa cukup selesa untuk merehatkan diri di situ.
Pemandangan di kawasan rumahku ini hanya kosong semata, cuma
sekadar satu barisan pokok yang berdiri megah di sepanjang perjalanan membawa
ke hutan tebal di dalamnya. Memori zaman kecilku yang pertama dan paling indah
sekali berlaku di pokok-pokok itu. Di hujung kawasan berdirinya sebuah rumah
pokok yang dibina oleh atuk dan ayahku sempena hari jadiku yang keenam. Mereka
semua tersengih gembira apabila ibuku membawaku ke sana, dengan mata tertutup,
dan kesemuanya menjerit ‘surprise’.
Kadang-kadang aku masih
lagi naik ke atas sana dan menyapu segala debu dan kotoran yang ada di lantai,
membuang sarang labah-labah, dan membaiki apa-apa kerosakan yang ada.
Barang-barang baiki kepunyaan atukku sahaja yang tidak pernah
kusentuh selama ini. Ia mempunyai semua peralatan yang diperlukan untuk membina
sesuatu, walaupun hampir sembilan puluh peratus aku tidak tahu apa-apa
mengenainya. Walau bagaimanapun, berilah aku tukul dan paku, tanganku pasti
akan laju sahaja bergerak.
Terasa bagai nostalgik tiba-tiba, aku meletakkan gelas yang
berisi air lemon, dan mula keluar dari rumah dan bergerak ke arah pokok yang
paling gemuk sekali di halaman belakang.
Melirik seketika di rumah Ikhwan, aku merengus. Kolam sudahpun
dimusnahkan, meninggalkan rasa tidak puas hatiku terhadap kawan wanita Ikhwan
yang telah memberi arahan kepada para pekerja di situ.
Ikhwan terlalu menggoda pula pagi ini,
membuatkan aku tertanya-tanya akan hubungan di antara dirinya dengan wanita
itu. Mungkin juga pereka landskap agaknya. Tiada sebarang cincin di jari lelaki
itu, tetapi tidak bermakna dia tidak mempunyai sesiapa kan.
Menghilang dalam keasyikan, aku terdengar bunyi pelik yang
datang dari rumah kayu diikuti pula dengan jeritan yang mampu memecahkan
gendang telingaku tatkala ini.
Adrenalin mula mengalir ke dalam tubuhku, memaksa aku untuk
berlari dengan kelajuan yang penuh ke arah pokok tersebut dan memanjat naik ke
atas melalui tangga yang disediakan.
“Buang dia, buang dia, buang dia!” Seorang budak lelaki kecil
memekik, dan bercangkung di penjuru rumah.
Aku menarik nafas dalam, lega tiada sesiapa yang tercedera dan
mengikut sahaja ke mana pandangan budak itu pergi, sehinggalah matanya terhenti
pada satu makhluk kecil di sudut ruang tersebut.
“Epi dah cuba takutkan dia dengan tu,” jelas budak kecil itu
sambil menunjuk ke arah penyapu.
Budak lelaki itu mula berdiri, tingginya tidak lebih dari tiga kaki dan rambut yang ikal lebat itu membuatkan aku tersenyum.
Aku mengangkat penyapu tersebut.
Teruja dengan apa yang membuatkan budak itu terlalu ingin
menghalaunya, aku menunduk dan akhirnya terjumpa seekor tikus berwarna coklat,
menggeletar di satu sudut.
Kasihannya.
Aku bukanlah peminat makhluk kecil sebegini, tetapi telinga
besar dan gigilan yang melampau itu membuatkan hatiku tersentuh.
“It’s okay. Dia
takkan apa-apakan adiklah,” kataku, sambil tersenyum. “Kita bawa dia keluar nak? Adik boleh tolong akak tak?”
Aku memerhati sahaja ekspresi wajahnya yang berubah menjadi
mesra dengan senyuman terukir di bibir itu.
“Nanti dia gigit Epi tak?”
“Hm, kita tengoklah macam mana,” aku tersenyum dan berdiri semula. “Epi nak gigit dia tak?”
Dia tergelak kecil lalu menggelengkan kepala. “Tak nak!”
“Ha, kalau macam tu, akak rasa kita mesti selamat punya.” Aku
ketawa. “Boleh tak Epi ambil kotak yang ada dekat sana tu?”
Dia mengambil sebuah kotak kayu kecil, yang mana aku selalu
gunakan ketika kecil dahulu untuk meminta bantuan daripada ibuku supaya
mengambil sesuatu di rumah tanpa perlu kuturun dan naik berulang kali ke rumah
pokok ini.
Setelah menyerahkan kotak tersebut, budak lelaki itu
kembali ke tempatnya tadi jauh dariku.
Aku merangkak di bawah meja, merenung makhluk yang dalam
ketakutan itu, berharap agar binatang itu kekal dalam posisinya. Tolonglah jangan gigit aku.
Tidak disangka pula aku
boleh menjadi lebih tenang daripada apa yang aku sangka selama ini. Ia
benar-benar lari daripada zon selesaku, tetapi memikirkan aku tidak punya
sesiapa untuk meminta pertolongan, jadi aku yang berkuasa dalam hal ini.
Badanku menggeletar ketika aku membawa kotak itu dekat dengan
tikus tersebut dan mencampakkan ke atasnya.
“Akak dapat!”
“Tapi kita kena bawa dia keluar juga dari sini.” Aku mengerling
kawasan rumah, mencari sesuatu yang boleh kuselitkan di bawah kotak tersebut
supaya senang untuk aku mengangkutnya keluar,
dan terjumpa sekeping papan yang tergantung di dinding buat beberapa
tahun lamanya sebelum ia berkarat di bahagian atas. Ibuku yang telah membuat
papan tanda itu; di mana ia tertulis ‘Istana Azwa’ di atasnya.
“Epi boleh tolong bagikan papan tu tak?” tunjukku.
Budak lelaki itu melangkah ke hadapan dan menyerahkan papan
tanda tersebut. Kali ini walau bagaimanapun, dia setia di sampingku dan turut
mengintai ke bawah untuk melihat dengan lebih jelas.
Dia mula menepuk tangan, sengihan lebar terukir di wajah kecil
itu ketika aku menyelitkan papan itu ke bawah kotak dan menekannya kuat apabila
aku mula merangkak ke belakang.
“Nanti dia jatuh tak?” tanya budak itu, matanya bulat dengan
kegembiraan.
“Tak. Kalau kakak tekan kotak ni macam ni, confirm dia takkan keluar.” aku menjelaskan.
“Jomlah kita turun bawah lepastu kita biar dia lari masuk dalam hutam.”
Melangkah turun ke bawah menggunakan tangga adalah satu perkara
yang tidak akan kulupa sampai bila-bila. Bergelut aku di antara menstabilkan
diri dan juga memegang kuat kotak tersebut dalam masa yang sama. Jika tersilap
langkah, tikus itu pasti akan keluar dan merayap di sekeliling tubuhku pula.
Ngeri pula terasa di hati. Beberapa minit berlalu, akhirnya kakiku menjejak
juga di tanah.
“Sedia?” aku bertanya, memerhati budak lelaki itu yang
melompat-lompat sambil menganggukkan kepala.
Comelnya.
Sambil bercangkung, aku meletakkan segalanya di atas tanah dan
berundur ke belakang.
“Adiklah buka kotak tu,” kataku, tersenyum ke arahnya.
“Betul?” Matanya membulat sekali lagi, tetapi kali ini dia
ternyata terkejut.
“Iya. Adik cuma perlu angkat kotak tu je,” jelasku, perasan
akan ketakutannya.
Dia bergerak setapak ke hadapan, berdiri di belakang kotak
tersebut dan melirik memandangku. Aku menghadiahkan senyuman manis kepadanya
dan tubuhnya mula menjadi tenang.
Apabila dia mengangkat kotak tersebut, tikus itu terus berlari
ke arahnya. Mulut budak kecil itu terbuka besar menjadi bulat penuh, lalu
mengeluarkan jeritan dan tawa yang membingitkan telinga.
Tikus itu masih lagi berlari ke arahnya dan akhirnya menuju ke
dalam hutan, meninggalkan budak cilik ini terlompat-lompat sambil ketawa sekuat
hatinya.
“Adik okay?” risau. Tawanya itu sangat berjangkit.
Dia menganggukkan kepala sekali lagi, “Epi tak pernah lagi
tengok tikus depan mata sebelum ni.” Dia tersengih. “Comel juga kan.”
“Ha’a, memang comel pun.” Aku bersetuju tetapi sebelum sempat
aku menyambung percakapanku atau memperkenalkan diriku, seorang wanita mula terpekik, lantang.

Menarik... teruskan berkarya. :)
ReplyDeletetinggalkan jejak kat sini dulu..xsempat baca,,nanti terjah blik :)
ReplyDeletebaru kenal blog ni. hehe. dah bab 7 ke? bab before ni mana? kang kalau ada masa kite baca ye :)
ReplyDeleteTeruskan tau Amy!
ReplyDeleteFirst time baca, sudah terpaut. Teruskan, dik.
ReplyDeleteRajin gitew..
ReplyDeleteAkak xdelah nak rajin baca novel dah tua bangka ni xD
keep coming.... wiwiwiwi
ReplyDeleteAmy k e yg karang Novel ni..Wahhhh
ReplyDeletebest
ReplyDelete